Mampukah Malaysia menjadi Hab Halal Global? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 11 July 2023

Mampukah Malaysia menjadi Hab Halal Global?

 

 

DALAM memulihkan ekonomi Malaysia, semua peluang perlu diintai oleh Malaysia. Apa jua yang boleh membantu memulihkan ekonomi Malaysia tidak boleh dilepaskan.

 

Dalam situasi semasa, Malaysia perlu mengambil peluang dalam pasaran halal global. Dijangka pasaran halal global akan mencecah AS$5.0 trilion manakala, pasaran domestik pula dianggarkan mencecah AS$113.2 bilion menjelang tahun 2030.

 

Adakah Malaysia tidak mahu mengambil peluang ini? Ini satu peluang yang baik bagi Malaysia memandangkan Malaysia  mempunyai ekosistem produk dan perkhidmatan halal yang baik.

 

Malaysia mempunyai ekosistem dan rangka kerja yang baik untuk memanfaatkan peluang ini. Ini sebenarnya selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang mana industri halal telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi negara.

 

Jadikan Pelan Induk Industri Halal 2030 sebagai rujukan utama

Jika Malaysia mahu mengembangkan industri halal negara bagi mendapat limpahan daripada perkembangan industri halal global, Malaysia perlu jadikan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030)  sebagai asas untuk mengembangkan industri halal negara.

parafrasa

Kebanyakan situasi yang berlaku, walaupun terdapatnya pelan induk mahupun blueprint namun begitu, strategi dan tindakan yang dilakukan tidak mengikut pelan yang telah dirangka.

 

HIMP 2030 yang bertema “Ke Arah Halal Malaysia yang Menyerlah di Peringkat Global” yang mengandungi 7 teras ini adalah sangat komprehensif dan boleh membawa Malaysia mengusai industri halal global. Antara teras yang digariskan dalam HIMP 2023 ialah:

 

  • Menambah baik polisi dan perundangan yang lebih mesra industri halal
  • Mewujudkan ruang pasaran yang baharu dan lebih luas untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia
  • Mewujudkan kumpulan pakar industri halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global
  • Pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berintegrasi
  • Memupuk pemikiran kepimpinan
  • Melahirkan lebih banyak ‘Juara Halal’ di kalangan pemain industri tempatan
  • Menggalakkan penyertaan bumiputera yang lebih berdaya saing di dalam industri halal

 

Tambah baik tadbir urus MPIH

Selain jadikan  HIMP 2030 sebagai rujukan utama, Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri juga perlu ditambah baik dari  segi struktur tadbir urus dalam pembangunan industri halal di Malaysia.

 

Penambah-baik tadbir urus MPIH perlu dari dasar formulasi strategi dan pemantauan, pensijilan & penguatkuasaan, pembangunan standard & keupayaan mampu kesan dan pembangunan industri dan pembudayaan keusahawanan.


 

parafrasa

 


Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) perlu jadi tulang belakang

Bagi menggalakkan aktiviti halal industri, HDC yang ditubuhkan pada 18 September 2006  perlu bertanggungjawab sebagai penyelaras utama bagi menggalakkan pelabur luar dalam pembangunan ekosistem halal di Malaysia.

 

Dalam usaha memperkukuhkan pembinaan ekosistem halal di Malaysia, HDC perlu menjadi tulang belakang negara  dengan menjadi peneraju industri halal dengan mencipta lebih banyak peluang perniagaan halal, menerokai perdagangan dan pelaburan halal, pemindahan teknologi dan lain-lain peluang bagi pembinaan ekosistem halal di Malaysia.

 

HDC tidak boleh “berpeluk tubuh” lagi. Melihat kepada peluang pasaran halal global yang mencecah RM23 trilion menjelang 2030, jelas membuktikan bahawa peningkatan jumlah pengguna halal dunia yang akan membawa nilai eksport yang baik buat Malaysia jika HDC memainkan peranannya sebaik mungkin.      

 

Perlu infrastruktur yang standard yang lebih banyak

Untuk lebih kompetitif,  Malaysia perlu menyediakan infrastruktur standard dan akreditasi kukuh dalam bidang  halal ini.  Menerusi  Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan SIRIM berkaitan halal perlu membangunkan lebih banyak standard halal merentasi pelbagai bidang.

 

Buat masa ini,  JSM sudah membangunkan 15 standard halal dalam pelbagai bidang halal seperti dalam bidang makanan, farmaseutikal, logistik, produk penjagaan peribadi, ujian makmal halal dan perkhidmatan hospital mesra Muslim dan lain-lain lagi.

 

Jika JSM membangunkan lebih banyak standard halal dalam pelbagai bidang pasti membuka peluang lebih besar kepada pemain industri halal memasuki pasaran global.

 

Perkenalkan kargo halal

Bagi menarik lebih ramai pemain industri halal global, Malaysia juga boleh memperkenalkan kargo halal. Kini banyak isu tentang menjaga kesucian produk halal di dalam urusan rantaian bekalan.

 

Bagi menjamin jaminan bahawa produk dan barangan yang diserahkan oleh satu penjaga yang lain adalah menurut keperluan halal, justeru, memelihara integriti produk dan barangan dalam proses rantaian bekalan, kargo halal boleh digunakan.

 

Isu halal membabitkan industri perkapalan, khususnya kontena pernah mendapat perhatian rakyat apabila pendedahan kartel daging import yang didakwa menyalahgunakan logo halal, selain laporan pihak berkuasa terhadap daging haiwan halal bercampur dengan babi di pelabuhan.


 

parafrasa

 


Kurangkan  birokrasi sijil halal

Terdapat juga rungutan daripada syarikat atau pemain industri halal di Malaysia  berkaitan birokrasi tentang sijil halal.

 

Usahawan atau syarikat  yang mahukan sijil halal bagi produk pengeluaran mereka melalui proses birokrasi yang panjang sehingga 6 bulan hingga 12 bulan. Tempoh ini dikatakan agak terlalu lama bagi mendapatkan sijil halal.

 

Jika Malaysia mahu terus bersaing dengan cepat dalam industri halal global, Malaysia perlu menetapkan satu mekanisme atau proses baharu bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

 

Jika proses ini terlalu lama, kadang-kadang membuatkan usahawan atau syarikat ini give up  dan akhirnya mereka tidak mendapatkan sijil halal. Situasi ini yang membawa syarikat tempatan yang menjalankan produk halal banyak, tetapi tidak mendapatkan sijil halal ini.

 

Malaysia hab halal global

Semua pihak perlu bekerjasama dengan baik bagi memperkukuh ekosistem halal di Malaysia. Malaysia perlu  menyusun semula dan menambah-baik inisiatif sedia ada di samping memperkenalkan inisiatif baharu yang berimpak tinggi selaras dengan hala tuju kerajaan perpaduan yang boleh membawa Malaysia kepada hab halal global.

 

Dengan berpandukan HIMP 2030 dan penyusunan strategi dalam mengukuhkan ekosistem halal di Malaysia bagi menjadikan Malaysia sebagai  hab halal global adalah  realistik dan boleh dicapai. Semoga Malaysia mampu mencapainya! – DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

dagangnews

 

Portfolio Tags