Sultan Ibrahim, Perubahan Tadbir Urus & Pulihkan Ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 7 November 2023

Sultan Ibrahim, Perubahan Tadbir Urus & Pulihkan Ekonomi

 

 

TUMPUAN dunia adalah kepada isu Israel-Palestin. Sehingga kini, perang Israel-Palestin ini masih belum reda. Campur tangan dari pelbagai pihak diharapkan dapat meredakan perang Israel-Palestin ini.

 

Jika perang ini berpanjangan, pastinya akan merencatkan pertumbuhan ekonomi global. Bagi sesebuah negara untuk kekal stabil dan aman, terdapat banyak faktor yang membawa kepada keamanan dan kestabilan negara.

 

Bagi Malaysia yang “tidak mempunyai banyak masalah” tentang keamanan ini, malah kestabilan politik yang menjadi kayu ukur dalam kestabilan negara.

 

Dalam konteks Malaysia, peranan Raja-Raja Melayu sangat penting dalam menstabilkan politik dan negara Malaysia khususnya. Kenapa Raja-Raja Melayu boleh berperanan dan kestabilan negara?

 

Soroti sejarah Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen

Sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia menggabungkan dua sistem ini dalam sistem pemerintahan. Pelaksanaan kedua-dua sistem ini di putuskan dalam rundingan kemerdekaan di London pada 1956. Rundingan membabitkan tiga pihak iaitu Pejabat Tanah Jajahan, Majlis Raja-Raja Melayu dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC.

 

Setelah Pejabat Tanah Jajahan, Majlis Raja-Raja Melayu dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC bersetuju dan membawa kepada kemuncaknya apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di hadapan Majlis Raja-Raja.

 

Uniknya sistem beraja di Malaysia

Sistem beraja di Malaysia merupakan sistem beraja yang unik di mana pemilihan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengamalkan sistem raja berganti secara bergilir. Giliran dibuat dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

 

YDPA yang dilantik akan menjalankan pemerintahan negara mengikut nasihat kabinet atau Perdana Menteri (Fasal 40) kecuali beberapa perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai kuasa budi bicara.

 

YPDA juga menjalankan fungsi sebagai Ketua Angkatan Tentera (Fasal 41), Penyimpan Mohor Besar Perseketuan (Pasal 360, memanggil mesyuarat Dewan Rakyat (Fasa; 55), ucapan di Parlimen (Fasal 60), perkenan rang undang-undang (Fasal 66) dan menerima menghadap duta asing serta mentauliahkan duta ke luar negara.

 

Al-Sultan Abdullah dan 4 Perdana Menteri

Jika dilihat dari Sejarah YDPA, Al-Sultan Abdullah yang paling “hero” kerana beliau adalah YDPA zaman pandemik Covid-19. Nyawa dan Nasib rakyat terjunjung di batu jemala Tuanku. Di samping itu, kemelut politik Malaysia juga berlaku di bawah  Al-Sultan Abdullah apabila 4 Perdana Menteri bertukar.

 

Bermula Tun Dr Mahathir Muhamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Al-Sultan Abdullah berjaya menghadapi “tekanan” politik ini untuk menstabilkan Malaysia. Pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk Tuanku melaksankannya.

 

Dalam karakternya yang agak tenang membuatkan rakyat begitu menghormati pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai YPDA Malaysia.

 

Menyingkap kembali pemerintahan Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan secara rasmi pada 30 Julai 2019, pelbagai cabaran berliku terpaksa diharungi Seri Paduka, termasuk pandemik Covid-19 dan pergolakan politik negara yang tidak berkesudahan.

 

Al-Sultan Abdullah berjaya dalam menangani semua dengan baik dalam pemerintahnya!

 

Sultan Ibrahim YPDA ke-17

Seperti yang semua telah ketahui, pada 31 Januari 2024 nanti, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan ditabalkan menjadi YPDA ke-17 Malaysia bagi tempoh sehingga tahun 2029.

 

Mengenali Sultan Ibrahim  ialah apabila Tuanku dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982.

 

Sultan Ibrahim dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri. Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai YPDA.

 

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

 

Mengenai pendidikan Sultan Ibrahim, Baginda mula mendapat di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada tahun 1968 hingga 1970 dan meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari tahun 1971 hingga 1975.

 

Sultan Ibrahim, planning and execute

Jika dilihat daripada bagaimana Sultan Ibrahim mentadbir negeri Johor yang mana Sultan Ibrahim “sering masuk campur” dalam pentadbiran negeri bagi memastikan setiap rakyat Johor mendapat manfaat dan kebaikan daripada pemerintah kerajaan negeri.

 

Sultan Ibrahim bukan mahu kerajaan negeri merancang tetapi melaksanakan. Ini satu”kekuatan” yang ada pada Sultan Ibrahim dalam memastikan negeri Johor maju seperti negeri lain.

 

Jika dilihat dari corak pemerintah Sultan Ibrahim ini, pastinya kaedah yang sama akan diguna pakai untuk memerintah negara sebagai YPDA ke-17 kelak. Kelak,Malaysia akan mengalami satu “reformasi” tadbir urus yang lebih baik.

 

Jangan salah faham, ia bukan mengubah struktur kerajaan persekutuan tetapi kepada tadbir urus kerajaan dalam menangani isu-isu besar negara terutamanya yang melibatkan rakyat.

 

Laksanakan konsep  “value for money” di peringkat persekutuan

Sultan Ibrahim menekan setiap jabatan mestilah patuh kepada arahan perbelanjaan yang berhemah dan langkah berjimat cermat serta pastikan semua perolehan dibuat dengan telus, tekun dan mengikut konsep ‘value for money‘. Ini yang telah berjaya membawa negeri Johor merekodkan lebih hasil  berbanding defisit dari tahun sebelumnya.

 

Kerajaan Persekutuan perlu mengurangkan defisit negara.  Di harapkan Sultan Ibrahim boleh “membantu” Malaysia mengurangkan defisit negara seperti mana yang negeri Johor lakukan.

 

Ini bukan bermaksud kementerian atau menteri tidak pandai menguruskan atau YPDA perlu campur tangan, sekurang-kurangnya model yang sama boleh diguna pakai di peringkat persekutuan.

 

2024 masa untuk tingkatkan semula ekonomi negara

Pastinya 2023 ini Malaysia masih lagi bergelut untuk memulihkan semula ekonomi dek kerana cabaran ekonomi global yang juga tidak menentu. Perdana Menteri boleh mengambil peluang yang lebih baik untuk berbincang dengan Sultan Ibrahim dalam usaha  Malaysia tingkatkan semula ekonomi.

 

Pengalaman Sultan Ibrahim yang terlibat terhadap inisiatif ekonomi dan pembangunan dalam pelbagai projek pembangunan ekonomi di Johor, termasuk pengembangan sektor pelancongan, pelaburan asing, dan infrastruktur dan membangunkan kawasan perdagangan khusus di Johor boleh dimanfaatkan di peringkat persekutuan bagi meningkatkan ekonomi negara.- DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags