Zurich Malaysia sumbang peralatan perubatan bernilai lebih RM200,000 kepada HCTM UKM | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia sumbang peralatan perubatan bernilai lebih RM200,000 kepada HCTM UKM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Zurich Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan berupa 17 peralatan perubatan bernilai RM281,525 kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk membantu meningkatkan keupayaan hospital dalam menyediakan rawatan perubatan yang lebih baik.

 

Peralatan-peralatan berkenaan merupakan enam troli/katil berhidraulik dengan sistem stereng teknologi roda klima bagi tujuan mengangkut pesakit selain lima troli untuk mengangkut pesakit secara manual.

 

Turut disediakan ialah lima pembersih udara dengan pelbagai aplikasi kawalan jangkitan untuk kemudahan penjagaan kesihatan dan komersial serta satu sistem diagnostik ultrasound pelbagai guna.

 

Peralatan yang memenuhi spesifikasi hospital dan akan digunakan Jabatan Kemalangan & Kecemasan, Klinik & Wad serta di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Jabatan Radiologi.

 

Pembelian peralatan itu adalah daripada sumbangan pekerja, ejen, pengantara dan rakan kongsi dan ia telah dijalankan semasa Minggu Komuniti Zurich bermula 13 September hingga 1 Oktober 2021.

 

Selain itu, RM8,443 diperolehi daripada lebihan perniagaan takaful am Zurich Malaysia – Zurich General Takaful Malaysia Berhad. 

 

Ini adalah sebahagian daripada proses syarikat untuk menyumbang lebihan Dana Tabarru’ bagi pihak pelanggan untuk tujuan dermawan atau menyelamatkan nyawa.

 

Pengarah HCTM UKM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin berkata, pihaknya sangat menghargai usaha dan inisiatif Zurich Malaysia, lebih-lebih lagi pada awal tahun baharu ini dan ia sangat bermakna buat mereka.

 

Sementara itu, Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, pihaknya komited dalam memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia dan pihaknya menyokong usaha hospital dalam memberikan khidmat terbaik kepada mereka yang memerlukan bantuan.

 

“Saya amat berterima kasih kepada kakitangan Zurich dan rakan kongsi kami yang mengambil bahagian dalam Minggu Komuniti Zurich dan Yayasan Z Zurich kerana memadankan dan menggandakan jumlah sumbangan kami sebanyak RM136,541. 

 

"Kami percaya bahawa apabila individu dan syarikat korporat bergabung tenaga, kita boleh membantu meringankan beban penjagaan kesihatan dan kesejahteraan awam untuk mencipta masa depan yang lebih cerah bersama," katanya. - DagangNews.com