12 persatuan industri IT bentuk GT&BSC | DagangNews Skip to main content

12 persatuan industri IT bentuk GT&BSC

PIKOM

KUALA LUMPUR 17 Julai - Sebanyak 12 persatuan industri bebas berasaskan teknologi dan perkhidmatan perniagaan di peringkat global membentuk dan menyertai Majlis Teknologi dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GT&BSC) bagi merangka visi perniagaan baharu di masa hadapan.

Pakatan global itu juga bertujuan untuk membendung isu dan masalah berkaitan COVID-19.

Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dalam satu kenyataan berkata, GT&BSC diwakili oleh beberapa negara iaitu Bulgaria, Balkan, Republic Czech, Mesir, Jerman, Hungary, India, Poland, Romania, Rusia, Afrika Selatan, Sri Lanka, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Malaysia.

"Negara-negara ini mewakili kepentingan lebih 10,000 organisasi termasuk syarikat multinasional, syarikat teknologi tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat baharu.

"Pakatan ini adalah inisiatif industri perkhidmatan perniagaan global (GBS) dan PIKOM. Antara persatuan pengasasnya adalah OM (Outsourcing Malaysia)," jelas kenyataan itu.

Kesemua 12 persatuan dalam pakatan tersebut mewakili anggota di seluruh wilayah dan negara masing-masing dalam kalangan pembeli dan penyedia perkhidmatan.

Sementara itu, Pengerusi OM Malaysia, Cheah Kok Hoong berkata, penyertaan 12 persatuan ekonomi itu adalah tepat pada masa khususnya semasa penularan pandemik di peringkat global.

Cheah Kok Hoong
Cheah Kok Hoong 

 

"Kerjasama dan pakatan ini akan mengukuhkan usaha kami sebagai pasukan respons global untuk menangani jurang tenaga kerja sektor ini selain membangunkan dasar dan amalan terbaik untuk kerajaan masing-masing.

"Ini ternyata akan menjadi nilai yang baik kepada industri GBS pada amnya," tambahnya.

Dalam pada itu, OM menyasarkan untuk mepromosi dan membangunkan industri GBS Malaysia sebagai hab global bagi perkhidmatan bernilai tinggi. - DagangNews.com