36.1% populasi Malaysia divaksin, Labuan & Sarawak catat peratusan tertinggi | DagangNews Skip to main content

36.1% populasi Malaysia divaksin, Labuan & Sarawak catat peratusan tertinggi

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Jumlah pemberian dos atau kadar vaksinasi di Malaysia terus meningkat kepada 17.3 juta setakat 25 Julai 2021.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah berkenaan meliputi 11.7 juta penerima dos pertama dan 5.5 juta penerima dos kedua.

 

Bagi jumlah pemberian dos secara harian pula, Malaysia merekodkan jumlah pemberian dos sebanyak 399,135 semalam.

 

.

 

Jumlah tersebut terdiri daripada 281,481 dos pertama dan 117,654 dos kedua.

 

Jumlah harian yang direkodkan itu bagaimanapun sedikit rendah berbanding rekod tertinggi sebanyak 507,050 dos yang dicatatkan pada 22 Julai baru-baru ini.

 

Dalam laporan data yang sama, JKJAV memaparkan peratusan populasi yang divaksin yang turut meningkat kepada 36.1% bagi penerima dos pertama dan 16.9% yang telah melengkapkan suntikan dos kedua.

 

Bagi peratusan populasi mengikut pecahan negeri pula, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak mencatatkan peratusan populasi yang divaksin tertinggi berbanding negeri-negeri lain sebanyak 61.6% dan 58.9%.

 

.

 

Peratusan tersebut diikuti dengan Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sebanyak 57.4%.

 

Negeri-negeri lain bagaimanapun masih mencatatkan peratusan populasi divaksin di bawah 50%.

 

Bagi vaksinasi golongan dewasa pula, peratusan vaksinasi meningkat kepada 50.4% yang telah mendapatkan suntikan dos pertama.

 

Golongan dewasa yang mendapatkan suntikan dos kedua pula meningkat kepada 23.6% bagi tempoh sama. - DagangNews.com