57 NGO sokong cadangan KKM haramkan rokok dan Vape | DagangNews Skip to main content

57 NGO sokong cadangan KKM haramkan rokok dan Vape

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN


KUALA LUMPUR 17 Jan - Sebanyak 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan 'Generational End Game' (Generasi Penamat) pada persidangan Parlimen tahun ini.

 

Menerusi kenyataan bersama NGO terbabit, pihak KKM dan agensi berkaitan diingatkan supaya larangan terhadap generasi akan datang yang bakal dibuat ini perlu dikuatkuasakan kepada semua jenis produk merokok, termasuk rokok elektronik dan vape.

 

Jelasnya, larangan pembelian atau pemilikan bagi semua jenis produk sangat kritikal bagi memastikan konsep 'produk kurang haram atau kurang kemudaratan' yang sering diwar-warkan industri rokok elektronik atau vape tidak diterima kerana tidak dibuktikan secara saintifik.

 

"Kawalan ketat serta penguatkuasaan yang tegas perlu dilaksanakan tanpa memberikan keistimewaan kepada mana-mana jenis produk merokok termasuk vape yang terbukti membahayakan kesihatan rakyat Malaysia. Secara kumulatif, kematian akibat penggunaan tembakau rokok adalah antara yang paling tinggi berbanding kematian akibat penyakit-penyakit lain.

 

"Penggunaan tembakau merupakan faktor risiko bagi enam daripada lapan jenis penyakit utama yang membawa kematian di dunia iaitu kanser paru-paru, penyakit jantung iskemik, penyakit serebrovaskular, penyakit paru-paru kronik, jangkitan saluran pernafasan bawah dan tuberkulosis. 

 

 

rokok

 

 

"Di Malaysia, hampir separuh daripada lelaki adalah perokok dan mereka terdedah kepada risiko penyakit-penyakit ini," menurut kenyataan tersebut hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, sebagaimana yang dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin baru-baru ini, usaha tersebut bakal diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk membendung masalah merokok dan seterusnya mewujudkan sebuah generasi baru yang bebas daripada tabiat merokok termasuk penggunaan vape.

 

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pakar-pakar seluruh dunia dalam Konvensi Kerangka Kawalan Tembakau telah mengkaji dan meneliti beban masalah akibat produk tembakau di mana dunia dianggarkan bakal mencapai 'The End Game' ini pada tahun 2030.

 

"Apa yang dimaksudkan dengan The End Game adalah penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang daripada 5%. Adakah negara kita akan berjaya untuk mencapai The End Game? Sudah pasti tidak jika tiada sesiapa yang memulakan pendekatan berani sebagaimana yang dicadangkan oleh Khairy," katanya.

 

 

 

vape

 

 

NGO berkata, berbanding negara-negara lain, masalah merokok di Malaysia sedang menjadi semakin parah apabila terdapat lambakan produk merokok alaf baru iaitu rokok elektronik dan vape yang sudah pasti menyebabkan Malaysia akan terlambat daripada mencapai The End Game dalam tempoh yang telah dijangkakan. 

 

Katanya, bilangan penggunanya kini semakin meningkat daripada anggaran 600,000 orang melalui kajian National E-Cigarette Survey (NECS) 2016 kepada lebih 1.1 juta orang sepertimana yang dilaporkan di dalam National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019.

 

"Cadangan bersifat 'bold' atau berani bagi membuat larangan merokok terhadap generasi akan datang di dalam akta baharu yang akan dibentangkan ini adalah sangat-sangat disokong dan perlu dipuji," katanya.

 

NGO terbabit menyeru kepada semua pemimpin dan ahli Parlimen yang akan bersidang nanti bersatu hati dalam menerima dan meluluskan cadangan yang sangat baik ini demi masa hadapan bangsa dan negara.

 

"Kepada pihak industri rokok terutama industri vape dan rokok elektronik, kami ingin menasihatkan agar dapat berlapang dada dalam menerima undang-undang baharu dan penguatkuasaan yang akan diperkenalkan ini.

 

"Tidak mungkin kita tidak mahu melindungi generasi anak cucu kita daripada terjebak dengan masalah ketagihan merokok, tidak kira sama ada rokok konvensional mahupun rokok elektronik sepertimana yang kita alami sekarang ini," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, rokok merupakan sejenis produk dagangan yang paling bahaya di dunia kerana membunuh separuh daripada penggunanya, namun masih merupakan dagangan yang sah di sisi undang-undang. 

 

Katanya, menurut WHO dalam Laporan MPOWER, 5.8 juta perokok maut akibat merokok setiap tahun dan jumlah kematian dijangka meningkat kepada 8 juta menjelang tahun 2030, di mana lebih 80% kematian akan berlaku di negara-negara membangun. 

 

"Malangnya penyakit dan kematian yang berlaku bukan sahaja melibatkan perokok, tetapi juga golongan bukan perokok (perokok pasif) yang sering terdedah kepada asap rokok basi. Dianggarkan sebanyak 75% kes kematian di dunia akibat pendedahan kepada asap rokok basi adalah membabitkan golongan kanak-kanak dan wanita.

 

"Di Malaysia, pelan strategik kebangsaan dalam inisiatif kawalan tembakau, program khas bagi setiap peringkat umur dalam lapisan masyarakat telah disusun melalui kerjasama pelbagai agensi ke arah Malaysia bebas rokok. 

 

"Pendidikan awal tentang bahaya asap rokok basi dan keburukan tabiat merokok mensasarkan golongan kanak-kanak pra-sekolah, sekolah rendah dan remaja untuk mewujudkan generasi bebas amalan merokok dengan prevalens bilangan perokok kurang daripada 15% menjelang tahun 2025 dan kurang daripada 5% menjelang tahun 2040," katanya.

 

Katanya, situasi merokok di Malaysia masih berdepan keadaan mencabar dengan peratusan merokok hanya turun sedikit daripada 23% kepada 21% semenjak tahun 1986 hingga sekarang. 

 

"Kos rawatan penyakit-penyakit akibat daripada tabiat merokok ini juga telah lama menjadi beban kepada negara terutamanya terhadap sistem kesihatan dan kewangan kita," katanya. - DagangNews.com