742 menara telekomunikasi dibina di pinggir, luar bandar Sarawak tahun ini | DagangNews Skip to main content

742 menara telekomunikasi dibina di pinggir, luar bandar Sarawak tahun ini

 

SHAH ALAM 29 April - Dalam usaha bagi Sarawak yang lebih meluas di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), sejumlah 742 lokasi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak akan dibangunkan dengan menara telekomunikasi baharu bermula pada tahun ini.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah tersebut, 106 menara mula dibangunkan bermula April 2021 manakala kerja-kerja pembinaan menara bagi baki 636 lokasi dijangka akan bermula pada suku ketiga 2021.

 

Menurut MCMC, kesemua menara telekomunikasi baharu ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022 dengan penawaran perkhidmatan 4G.

 

"Selain itu, sejumlah 1,283 stesen pemancar telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan 4G pada tahun 2020 dan usaha ini berterusan sehingga suku pertama 2021.

 

"Manakala sejumlah 1,606 stesen pemancar lagi sedang dalam proses penaiktarafan bermula pada tahun ini," kata MCMC.

 

Di bawah inisiaitif JENDELA juga, MCMC turut membangunkan inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit yang mana sejumlah 523 lokasi telah dikenal pasti di Sarawak dan kini sedang di peringkat penilaian tender.

 

Bagi projek jalur lebar talian tetap pula, MCMC menyasarkan sejumlah 43,013 premis di Sarawak akan tersedia dengan akses kepada infrastruktur gentian optik bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.

 

Mengenai satu aduan, MCMC berkata suruhanjaya itu telah mengambil tindakan berhubung aduan berkenaan liputan Internet lemah di kawasan pinggir bandar, Kampung Batu Perak, baru-baru ini.

 

Menurutnya, MCMC Negeri Sarawak telah mengadakan tinjauan di kampung tersebut bagi menjalankan ujian liputan dan hasil penilaian mendapati liputan komunikasi adalah baik dan kemudahan jalur lebar talian tetap turut disediakan.

 

"Ujian liputan mudah alih yang dijalankan mendapati kelajuan Internet adalah memuaskan dan dilengkapi dengan teknologi 4G.

 

"Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Ketua Kaum Kampung Batu Perak yang memaklumkan tiada isu komunikasi di kampung tersebut setakat ini," kata MCMC.  - DagangNews.com