Alliance dan 3 rakan strategik meterai MoU | DagangNews Skip to main content

Alliance dan 3 rakan strategik meterai MoU

Oleh YEO LI SHIAN

lishian@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR, 20 Okt. - Alliance Islamic Bank Berhad hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluaskan ekosistem Program Halal in One dengan tiga rakan strategik baharu – Halal Development Corporation (HDC), Halnex Sdn Bhd (Halnex), dan Halal Street UK.

Jalinan kerjasama baharu itu diyakini dapat memperluaskan rangkaian pasarannya selain menawarkan sokongan dan memacu perkembangan pasaran halal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, penglibatan HDC, Halnex, dan Halal Street UK dilihat mampu menjadi pemangkin Program Halal in One untuk terus berdaya saing dalam pasaran halal antarabangsa.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang mendukung aspirasi sama untuk memacu perkembangan ekonomi pasaran halal menerusi sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Rizal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, platform Program Halal in One dapat membantu golongan usahawan PKS untuk mendapatkan sokongan atau bantuan demi memacu atau meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Semua PKS di seluruh negara digalakkan untuk memanfaatkan peluang ini demi menembusi pasaran halal atau mendapatkan sokongan kewangan bagi membantu PKS memperoleh sijil halal menerusi Program Halal in One.

Program ini menawarkan pelbagai jenis sokongan termasuk khidmat nasihat, pemadanan perniagaan berasaskan halal dan pensijilan halal bagi membantu PKS mengembangkan perniagaan dalam sektor halal.

Sebagai sebuah agensi kerajaan, HDC menyediakan sebuah Platform Bersepadu Halal (HIP) bagi membantu PKS berhubung terus dengan para pelabur, agensi kerajaan, syarikat perkhidmatan kewangan ataupun syarikat-syarikat lain di peringkat global.

Sementara itu, Halnex pula menawarkan satu platform sokongan dari segi perkhidmatan pakar perunding halal dalam talian dan penilaian kesediaan pada harga minima.  

Berpangkalan di United Kingdom (UK), Halal Street UK pula menyediakan pelbagai e-platform PKS tempatan untuk menyenaraikan produk-produk mereka menerusi B2C dan B2B bagi memenuhi pasaran halal di UK.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai Program Halal in One Alliance Islamic Bank di https://www.alliancebank.com.my/Alliance-Islamic-Bank-Berhad/Home. – DagangNews.com