ANGKASA rai jubli emas ulang tahun ke-50 penubuhan | DagangNews Skip to main content

ANGKASA rai jubli emas ulang tahun ke-50 penubuhan

PETALING JAYA 12 Mei – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini mencapai usia jubli emas setelah melalui pelbagai rintangan dan fasa yang membawa kepada kejayaan dalam memperkasa gerakan koperasi negara setelah 50 tahun penubuhannya.

 

Menyelusuri sejarah, ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh  Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

 

Ketika penggubalan Dasar Ekonomi Baru, pemimpin negara ketika itu telah membuat keputusan bahawa perlunya sebuah badan yang boleh memimpin serta mewakili gerakan koperasi di seluruh negara.

 

Pada tarikh keramat 12 Mei 1971, ANGKASA secara rasminya didaftarkan sebagai Angkatan Kerjasama Kebangsaan Malaysia Berhad mengikut fasal 7 di dalam Ordinan Sharikat Bekerjasama-sama tahun 1948. Bermula dengan keanggotaan ahli sebanyak 719 buah koperasi, ANGKASA kini memayungi 14,668 buah koperasi yang menyumbangkan RM45.8 bilion perolehan pada tahun 2019.

 

ANGKASA secara rasmi diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan puncak mewakili gerakan koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 23 Mei 1996. Termaktub dalam warta kerajaan, [KTPK. (S) 07/49/1/9; PN. (PU2) 572/III.],

 

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili pergerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”



Bagi menyelesaikan masalah pinjaman tidak berbayar yang dihadapi oleh koperasi,  ANGKASA telah mewujudkan Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA)  pada tahun 1977 yang mana semua potongan koperasi dan lain-lain organisasi diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan urusan potongan gaji anggota diproses oleh jabatan kerajaan atau majikan swasta (yang berdaftar dengan BPA).

 

Perkhidmatan BPA menggunakan Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) berperanan mengawal peningkatan kadar keberhutangan supaya tidak melebihi had 60 peratus  daripada pendapatan bulanan peminjam.

 

Perkhidmatan Biro Potongan ANGKASA berjaya berkembang daripada mengurus kutipan RM1.5 juta sebulan pada tahun 1977 kepada RM1.2 bilion sebulan pada tahun 2021 menggambarkan keyakinan pihak berkepentingan dan pemegang taruh kepada keupayaan serta kredibiliti ANGKASA memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anggota koperasi.

 

Mengangkat tema ‘Menjulang Aspirasi Koperasi’, ANGKASA menekankan amalan dan jati diri gerakan koperasi itu sendiri iaitu ‘Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama’. Ini akan menyemarakkan semangat para koperator untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan membudayakan koperasi sebagai gaya hidup agar gerakan koperasi akan terus menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara demi kemakmuran bersama.

 

Melihat kepada kepelbagaian sektor ekonomi yang boleh diceburi oleh koperasi, ANGKASA menubuhkan lapan (8)  Sektor Peneraju Pembangunan Perniagaan Koperasi yang memfokuskan kepada sektor perniagaan berimpak tinggi termasuk Sektor Kewangan, Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani, Sektor Perladangan, Sektor Pembangunan Komuniti, Sektor Inovasi dan Teknologi, Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Sektor Hartanah dan Industri Binaan serta Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan.

 

ANGKASA menjalankan projek perniagaan berbentuk inkubasi melalui Projek Pemerkasaan Koperasi (CEP) di mana perniagaan yang berkembang maju akan  diserahkan kepada koperasi yang berpotensi untuk diuruskan secara kerjasama strategik.

 

ANGKASA

 

Presiden ANGKASA, Dato' Abdul Fattah Abdullah merangkap Presiden ASEAN Co-Operative Organization (ACO) berkata, kesejahteraan sosioekonomi masyarakat sememangnya menjadi salah satu tunjang utama dalam perjuangan ANGKASA.

 

Oleh yang demikian ANGKASA giat membantu memperkasa koperasi berasaskan komuniti supaya pada akhirnya komuniti masyarakat tersebut dapat berdiri di atas kaki sendiri dan meningkatkan tahap ekonomi serta memenuhi keperluan sosial melalui platform koperasi.

 

Antara yang menjadi perhatian ANGKASA adalah pembangunan perniagaan Koperasi Kariah Masjid kerana kewujudan masjid dan surau di setiap kawasan dapat digembeleng untuk mewakili dan membantu sesebuah komuniti.

 

"Koperasi Kariah Masjid perlu merebut peluang tersedia dalam industri produk halal yang mempunyai sasaran nilai eksport halal sebanyak AS$100 bilion (RM417 bilion) menjelang tahun 2030.

 

"Koperasi juga harus meneroka konsep kewangan Islam yang sedang dilaksana secara meluas dalam dunia kewangan pada masa kini. Ia merupakan satu ruang yang perlu diisi oleh koperasi bagi mengekalkan momentum daya saing gerakan ini," kata beliau.

 

Gerakan koperasi sekolah juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan di bawah bimbingan ANGKASA. Model koperasi sekolah yang amat unik dan hanya wujud di negara ini menjadi rujukan negara luar bagi pembangunan modal insan generasi muda.

 

Koperasi sekolah memberi peluang kepada pelajar meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan koperasi dan pengurusan perniagaan untuk membentuk pemimpin masa hadapan yang dinamik.

 

"Sehingga bulan Jun 2020, terdapat 2,444 buah koperasi berbanding sembilan (9) buah koperasi sekolah yang mula ditubuhkan pada tahun 1968. Sehingga Disember 2019, perolehan koperasi sekolah ialah sebanyak RM421.11 juta.

 

"Sehingga kini telah terdapat 12 buah koperasi sekolah yang telah mencapai perolehan melebihi RM1 Juta. Ini menunjukkan gerakan koperasi sememangnya mempunyai potensi yang besar jika mempunyai pelan dan strategi yang betul dalam mengemudi perniagaannya," kata Abdul Fattah.

 

Selain menjadi suara dan menggerakkan koperasi dalam negara, ANGKASA turut bergerak aktif di persada antarabangsa. Sejak tahun 1972, ANGKASA menjalinkan hubungan baik dengan badan induk gerakan koperasi dunia, International Cooperative Alliance (ICA) serta giat meningkatkan kerjasama strategik dengan koperasi luar negara dan badan berkepentingan bagi membuka ruang kepada gerakan koperasi negara meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat global.

 

"Sempena ulang tahun ke-50 ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara, saya mewakili kepimpinan tertinggi dan warga kerja ANGKASA serta koperasi mengukuhkan komitmen untuk menjayakan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 hingga 2025 (TransKom) dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

 

"Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) bagi membantu merealisasikan agenda untuk memacu gerakan koperasi sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan selain menyumbang sebanyak RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

 

"Selama 50 tahun melakar kejayaan, ANGKASA akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan gerakan koperasi serta komited untuk meneraju dan melaksana inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 agar institusi ini terus berdaya maju dan kekal relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan terutamanya dalam persekitaran pandemik COVID-19 serta terus berperanan sebagai instrumen pengagihan ekonomi yang adil dan saksama demi kesejahteraan untuk semua," kata Abdul Fattah. - DagangNews.com