10 perkara sahkan pemikiran anda belum Merdeka | DagangNews Skip to main content

10 perkara sahkan pemikiran anda belum Merdeka

Merrepak oleh Johardy Ibrahim

 

SUDAH 63 tahun Malaysia merdeka. Tetapi apakah kita sebagai rakyatnya sudah mencapai kemerdekaan minda setaraf dengan usia kemerdekaan negara?

Maaf, soalan di atas memang memeningkan. Tetapi ini namanya Merrepak. Ada juga tanya apa makna Merrepak? Ia bermaksud `membebel' di dalam bahasa Melayu Sarawak yang lebih menyebutnya sebagai `krepak'. Ia tidak ada kaitan dengan keropok. Ia bermaksud `membebel'. Itu sahaja. 

Berikut adalah 10 huraian saya mengenai kemerdekaan minda anda. Walaubagaimanapun, supaya tidak terkena surat saman, harus saya tegaskan bahawa artikel Merrepak ini tidak ada kaitan dengan yang hidup atau mati, atau sesiapa yang terlintas di fikiran anda semasa membacanya. 
 

10 perkara minda merdeka

  1. Keasyikan bermain telefon semasa kesesakan jalan raya, memang sudah sampai tahap kronik, jika tidak pandemik. Bukan tengok peta tapi menjawab WhatsApp. Sekali dua terlambat bergerak, boleh lagi ditahan sabar. Bila sepanjang 5km terhegeh-hegeh sehingga menjadi fokus kereta dari lorong sebelah untuk mencelah masuk. Memang wajib kena hon.
     aaa
     
  2. Lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan dari Klang ke Kuala Lumpur. Untuk apa sebenarnya? Bila diperhati, memang ada motorsikal menggunakannya. Dan yang lain berebut sama dengan kenderaan empat roda di jalan utama. Dulu alasan diberi, laluan motosikal berbahaya sebab berlubang dan runtuh. Rasanya sudah dibaiki. Tetapi masih ramai motosikal guna laluan utama. Ingat bila mereka bawa motosikal di lebuh raya kurang sikit bahaya? Apa sebenarnya ini semua? Minta penjelasan Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Trafik dan sesiapa sahaja yang boleh beri kefahaman.
     
    aaa
    LORONG motosikal di Lebuh raya Persekutuan yang telah dinaik taraf. Gambar ihsan PAULTAN.ORG

     
  3. RFID di PLUS, dari tahun lepas ada papan tanda di plaza tol. Tetapi bilakah ia hendak dilaksanakan? Nampaknya hanya lebuh raya pendek-pendek sahajalah. Jika anda keluar di tol Skudai sehingga tol Sg Besi, anda kena guna Touch & Go atau Smartag. Ingatkan pengenalan RFID ini bakal gantikan keperluan kad. Tidak pening hendak cari mana tempat top-up isi kad. Nampaknya sangkaan itu meleset sama sekali.
     
aaa

 

  1. Banyak hotel dan resort tawarkan penginapan pada harga rendah. Tetapi pengalaman baru-baru ini mendapati bukan sahaja kakitangan hotel dikurangkan, malah juadah buffet pun jadi sedikit. Sarapan ada 2 jenis sahaja iaitu nasi lemak atau telur dadar.

    Jadi berhati-hati jugalah ambil tawaran istimewa ini. Kena baca teliti komen pelawat terdahulu pada laman web. Kita hendak tolong industri pelancongan tetapi tidaklah sampai kita pula kena sokceng (short-changed).

 

  1. Restoran dan gerai kini semakin rancak walaupun dalam tempoh PKPP berjalan. Cuma hendak nasihatlah pengurus restoran. Utamakan pengunjung yang datang. Pandai-pandailah bagi masa untuk tempahan menerusi e-hailing. Kalau kita tunggu sampai sejam untuk nasi ayam, memang elok tutup saja ruang makan dan fokus kepada servis e-hailing sahaja.

 

  1. Selepas kerajaan berubah Februari lalu, ada kekeliruan daripada segi dasar penyediaan straw/ penyedut minuman. Kita faham sesudah bertukar kerajaan, dasar yang terdahulu menjadi tidak terpakai. Melainkan jika kerajaan sekarang isytihar untuk meneruskannya.
     
    sto
    Bab straw ini adalah contoh tumpuan kepada benda remeh berbanding isu lebih besar yang diamal oleh orang terdahulu. Alasan untuk alam sekitar boleh diterima. Ya, kasihan penyu.

    Tapi tidak kasihankah kepada rakyat terpaksa menanggung bayaran air RM1.50 untuk teh ais tanpa disediakan straw. Patutnya potonglah 30 sen kos straw yang tidak ada itu. Tapi bab ini, semua sunyi sepi. Jadi saya sudah kenal pasti restoran yang kedekut straw tapi masih mengenakan cas biasa untuk minuman, dan berjanji tidak akan mengunjunginya lagi.

 

  1. Baru-baru ini saya terbaca artikel daripada Bank Dunia yang mengenengahkan permasalahan sistem perbankan di Asia Tenggara. Masalah itu ialah sistem yang diguna pakai adalah ketinggalan dan perlahan. Saya baca untuk pengisian ilmiah sahaja.

    Hendak dijadikan cerita, saya diwajibkan membuka akaun semasa. Jadi saya pergi cawangan bank di Shah Alam. Percayakah anda kalau saya ceritakan, permohonan saya itu kena dihantar ke ibu pejabat bank di Jalan Perak, Kuala Lumpur? Seminggu kemudian, dapat kelulusan. Semua ini berlaku ketika saya turut membuka satu lagi akaun semasa di bank jenama lain tetapi siap ketika itu juga!

    Ingatan saya kembali kepada artikel Bank Dunia itu. Betullah. Memang ada bank di Malaysia masih terperuk dalam sistem era 1990-an.

 

  1. Heboh betul kisah `rundingan terus’ di Parlimen. Yang namanya disebut, melenting-lenting marah sampai hendak saman di mahkamah. Kita sekalian rakyat marhaen hanya boleh tengok sahaja semua itu. Hendak mengidam dapat peluang `direct nego’ umpama mimpi di dalam mimpi. Tetapi kita tahu yang menjadi kontroversi ialah orang dulu berjanji tidak amalkan direct nego. Tidak bersih amalan sedemikian, kata orang dulu. Jadi bila orang sekarang tunjukkan ada juga berlaku, maka tahulah rakyat, mereka sama sahaja. Jadi kita ini teruskan mengidam direct nego.

 

  1. Hampir setiap Ahad ramai orang mengunjungi taman-taman riadah sama ada berjogging, berjalan santai, berbasikal dan sebagainya. Di Taman Botani Shah Alam, dapat diperhatikan pihak pengurusan kini rancak mengemas dan membersihkan semak-samun yang terbiar lama akibat PKP pandemik COVID-19. Baguslah. Ini sebab pengunjung keberatan untuk meredah kawasan semak-samun, takut ada binatang buas. Bila sudah bersih, akan ramai meneroka kawasan tersebut selain jalan utama menuju ke empangan.
     bot
    Adalah diharapkan pihak pengurusan boleh adakan pengawal meronda dari semasa ke semasa. Ini penting untuk memastikan keselamatan pengunjung. Andai kata berlaku kemalangan, pengawal itu boleh memberi bantuan segera.

    Sekarang ini, pandai-pandai sendirilah uruskan seperti rantai basikal tercabut. Tak tahulah apakah basikal sewa di situ ada diselenggara wajib. Pernah terjumpa penyewa basikal bunyinya macam gesekan biola songsang. Pengawal juga boleh membantu mengingatkan pengunjung supaya tidak berhenti sesuka hati di jalan sekitar taman disebabkan ia dikongsi pengayuh basikal, yang turun laju dari puncak bukit. Pengayuh basikal juga kena waspada supaya tidak melanggar pengunjung.


     
  2. Perayaan kemerdekaan ke-63 ini akan dikenang kerana kita semua masih dalam perintah PKP Pemulihan yang dilanjut sehingga hujung tahun. Ada beberapa kawasan dikenakan PKP pentadbiran bila didapati beberapa kes baru COVID-19 di sekitar kawasan. Ramai mahu meninggalkan segera `mimpi ngeri’ sekarang kerana kebebasan disekat tetapi semua sedar, ia hanya boleh dikecapi bila vaksin COVID-19 sudah ada, dan setiap orang diberi suntikan vaksin berkenaan.

    Sehingga itu berlaku, kita harus bersabar dengan sekatan kebebasan ini dan paling penting, patuhi SOP yang ditetapkan. Membaca rungutan sesetengah orang mengenai sulitnya mengerjakan solat, turut meruntun perasaan. Selangor mengekalkan SOP ketat seperti mewajibkan bawa sejadah sendiri tatkala Kuala Lumpur bakal melonggarkannya mulai 1 September ini. Patuh sahajalah.

    Tidak perlu marah-marah. Tiada siapa sekat sesiapa untuk masuk syurga. Inilah peraturan untuk elak menularnya pandemik COVID-19. Biasakan diri tidak bersalaman. Tidak apa. Anda tidak kurang ajar. Biasakan diri memakai pelitup muka. Pakailah supaya risiko virus itu dapat dikurangkan bila berjumpa orang ramai. Paling tidak pun, ingatlah denda RM1,000 menanti jika tidak memakainya.

 

Akhir kata, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, saya mewakili sidang editorial DagangNews.com mengajak anda semua supaya penuhkan azam dan laksanakan tugas anda untuk sama-sama memulihkan ekonomi negara. Anda tidak perlu sumbang duit kepada apa-apa tabung khas negara seperti orang dulu. Anda tidak perlu mohon kerja jadi saintis vaksin. Tetapi anda hanya perlu lakukan tugas anda dengan sewajarnya. Seperti lirik lagu Warisan dendangan Allahyarham Sudirman Hj Arshad:

Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

 

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Earth, Wind & Fire berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel [email protected]