Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis – Prospek ekonomi global dijangka kekal rapuh serta tidak menentu, justeru banyak negara berusaha mengembalikan ekonomi mereka ke landasan yang betul, menurut Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.
Dalam usaha memulihkan ekonomi kata beliau, kebanyakan negara termasuk Malaysia, merangka dasar untuk menjaga kepentingan rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID 19.
“Pada pendapat saya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Malaysia telah bergerak ke hadapan bagi mempertingkat hubungan diplomatik dua hala antara negara jiran terdekat dengan mengadakan lawatan ke Singapura dan Indonesia.
Selain menjalinkan hubungan mesra dua hala, ia juga merupakan petanda baik bagi rantau ini untuk mengembalikan momentum ekonomi setelah majoriti orang mendapat vaksin,” katanya kepada DagangNews.com ketika dihubungi hari ini.
Shan diminta mengulas pencapaian 100 hari Perdana Menteri Malaysia kesembilan, menggalas tanggungjawab selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengambil alih jawatan itu daripada Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), dalam keadaan kerajaan PN dijatuhkan sendiri oleh sebilangan ahli Parlimen UMNO.
Walaupun pada awal pentadbirannya, terdapat suara sumbang yang memperlekehkan kewibawaan Ismail Sabri dalam menstabilkan negara baik dari segi ekonomi, politik mahupun kesihatan rakyat khususnya dalam memerangi COVID-19, namun Shan berkata, semua tanggapan itu ternyata meleset.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan lulus RM109.1 bilion untuk tingkat pelaburan asing dalam tempoh 100 hari pentadbiran PM
Dalam landskap dasar luar antarabangsa, Shan berkata, pemain global telah menghargai peranan Malaysia dalam menerajui hubungan diplomatik dan ekonomi dengan semua pihak berkepentingan di rantau ASEAN.
Dengan pembukaan Malaysia selepas 96% daripada penduduknya telah divaksinasi, memberikan keyakinan kepada pelabur asing bahawa Malaysia bekerja keras memacu kembali ekonominya ekoran pandemik COVID-19.
Di bawah pentadbiran Ismail Sabri, Shan berkata, jumlah dagangan melebihi 25% tahun ke tahun (YOY) iaitu RM1.2 trilion.
Katanya, kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan momentum ekonomi bagi mencapai kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu 3-4% untuk 2021 dalam persekitaran yang mencabar.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) yang dilancar oleh perdana menteri pada 26 September lepas, negara telah menyusun strategi untuk bergerak ke hadapan untuk menyokong status ekonomi global dari segi pembuatan, Teknologi dan industri ICT agar kekal di landasan yang betul.
Dengan ekonomi global yang terus perlahan, Shan berkata, Malaysia telah mendapat kelebihan daya saing untuk menyokong dan memenuhi permintaan ekonomi maju.
Menurut laporan terbaru dari majalah Credit Suisse dan Economist, Malaysia bersedia sepenuhnya untuk mencapai kadar pertumbuhan lebih tinggi daripada 2021.
Ini kerana kerajaan telah berjaya melaksanakan program vaksinasi, melaksanakan dasar fiskal/monetari dengan berkesan serta menumpukan pada kestabilan makroekonomi untuk memacu prospek pertumbuhan.
“Kini sudah tiba di penghujung tahun, kami di Juwai IQI menjangkakan Malaysia akan bergerak lebih pantas dari segi ekonomi pada tahun hadapan.
“Kami yakin bahawa Malaysia di bawah PM Ismai Sabri akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang ketara bagi memenuhi jangkaan rakyat dan lebih-lebih lagi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat jelata di peringkat makro,” ujar Shan.
Selain tingkat dasar luar dan usaha memulihkan ekonomi, Ismail Sabri juga memperkenalkan konsep 'Keluarga Malaysia.'
Dengan konsep ini, pada 13 September lalu, beliau melakar sejarah baharu buat negara susulan kerajaan Persekutuan dan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
MoU tersebut antara lain membabitkan enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen. - DagangNews.com