1.3 juta lagi dos Pfizer tiba minggu ini | DagangNews Skip to main content

1.3 juta lagi dos Pfizer tiba minggu ini

Vaksin Pfizer

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Sebanyak 1,333,800 lagi dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer akan tiba dan diagihkan minggu ini sehingga awal Julai.

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pengagihan tersebut akan dilakukan secara berperingkat hingga 2 Julai nanti.

 

"Sebanyak 444,600 dos akan diagihkan pada 16 hingga 18 Jun.

 

"444,600 dos lain akan diagihkan pada 23 hingga 25 Jun.

 

"Dan 444,600 dos lagi akan diagihkan pada 30 Jun hingga 2 Julai nanti," katanya dalam satu sidang media hari ini.

 

Mengulas berkaitan status pengedaran vaksin, beliau memberitahu, sebanyak 5.9 juta dos vaksin telah diedarkan ke seluruh negara.

 

Jumlah berkenaan meliputi 1.6 juta dos vaksin Coronavac (Sinovac), 3.6 juta dos Cominarty (Pfizer) dan 648,100 dos vaksin jenis AstraZeneca.

 

"Lima negeri yang tertinggi dalam pengedaran vaksin adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (902,660 dos), Selangor (898,250 dos), Sarawak (697,736 dos) Johor (547,280) dan Sabah (503,560 dos)," katanya. 

 

Bagi rekod, Malaysia berjaya mencatatkan sebanyak 128,912 pemberian dos vaksin COVID-19 semalam.

 

Jumlah yang dicatatkan dalam laporan harian itu meliputi 102,208 dos pertama dan 26,704 bagi dos kedua.

 

Pertambahan jumlah pemberian harian itu secara tidak langsung menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin negara kini mencecah 4.4 juta.

 

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 3.1 juta adalah pemberian dos pertama dan 1.3 juta adalah pemberian dos kedua. - DagangNews.com