1.5 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka - TNB | DagangNews Skip to main content

1.5 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka - TNB

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan pemasangan sehingga 1.5 juta meter pintar di kawasan Lembah Klang dan Melaka menjelang penghujung tahun ini. 

 

Setakat ini, TNB telah memasang sekitar 300,000 meter pintar di Melaka sementara kira-kira 706,000 rumah di kawasan Lembah Klang dilengkapi dengan alatan berkenaan, menurut Pengarah Projek Infrastruktur Pemeteran Maju (AMI) TNB, Mohamed Ghous Ahmad.

 

Jelasnya, ini menjadikan keseluruhan jumlah pemasangan meter pintar di kedua-dua kawasan mencecah 1.06 juta setakat ini.

 

“Antara kawasan di Selangor yang telah dilengkapi dengan meter pintar ini ialah Shah Alam, Cheras, Bangi dan Petaling Jaya manakala di Kuala Lumpur antara kawasannya di Bangsar, Bandar Sri Damansara, Segambut dan Ampang.

 

“Melalui Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), TNB diberi peruntukan untuk memasang sebanyak 1.5 juta meter pintar menjelang penghujung tahun ini dan berdasarkan jumlah yang dipasang sekarang kita yakin bakinya akan dapat dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya menurut laporan Bernama.

 

Mohamed Ghous berkata, pihaknya juga kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk melengkapkan kesemua 3 juta pengguna TNB di Lembah Klang dengan meter pintar.

 

“Selepas itu kita sasarkan kesemua 9.1 juta pengguna TNB di seluruh negara akan dilengkapi dengan meter pintar menjelang 2026,” katanya.

 

Dalam pada itu, TNB berharap lebih ramai pengguna akan memuat turun aplikasi MyTNB sekali gus menyasarkan 80% pengguna aplikasi berkenaan menjelang penghujung tahun ini. 

 

Jelas Ketua Retail TNB Selangor, Ismail Lathifi Teh, pengguna yang mempunyai aplikasi MyTNB boleh memantau dan mengawal penggunaan tenaga elektrik secara harian dan ia juga mendidik pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah.

 

Pemasangan meter pintar tersebut juga akan memberi pelbagai kelebihan kepada pelanggan kerana selain untuk melihat dan membayar bil TNB, pengguna juga boleh memantau jumlah penggunaan tenaga elektrik secara harian, ujarnya.

 

“Meter pintar ini membaca (data penggunaan elektrik) setiap 30 minit tetapi dihantar ke pusat penyimpanan data TNB setiap hari. Sebab itu kita hanya boleh melihat bacaan hari sebelumnya menerusi aplikasi myTNB,” ujar beliau. 

 

Beliau dalam masa sama turut menasihati orang ramai untuk menghubungi talian TNB jika terdapat keraguan terhadap individu atau kontraktor yang hadir bagi menukar meter di kediaman mereka.

 

“Bagi pengguna yang masih ragu-ragu dengan kontraktor kami, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TNB 1-300-88-5454 dan TNB akan menghantar kakitangan untuk memantau keadaan,” ulasnya lanjut. - DagangNews.com