150,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura terlibat Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara 2022 | DagangNews Skip to main content

150,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura terlibat Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kira-kira 150,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik secara harian ke Singapura untuk bekerja sebelum pandemik COVID-19 melanda, akan terlibat dalam Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara 2022.

 

Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, daripada jumlah tersebut, dianggarkan 90,000 rakyat Malaysia masih berada dan bekerja di Singapura sepanjang tempoh 2021.

 

Justeru, kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia akan melaksanakan kajian awal yang akan memfokuskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

 

"Dalam usaha untuk membina jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif, kajian ini bermatlamat untuk membina profil eko sistem, mengumpul maklumat dan mengenalpasti keperluan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. 

 

"Di samping itu, kajian akan turut meneliti secara holistik isu-isu penting lain yang berkaitan agar tindakan susulan yang bersesuaian dapat dicadangkan bagi menambahbaik jaringan perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara umumnya," menurut kenyataan tersebut hari ini.

 

Menurut kementerian, sasaran responden bagi soal selidik adalah individu rakyat Malaysia yang berada di Singapura sama ada bekerja, tidak bekerja atau bagi tujuan lain.

 

Jelasnya, soal selidik itu, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi sedang berada di Malaysia dan rakyat Malaysia yang pernah bekerja di Singapura pada tahun 2020 hingga 2022.

 

"Sehubungan itu, kerjasama daripada individu-individu yang menepati kriteria tersebut adalah dimohon untuk berkongsi input mereka melalui soal selidik yang dilaksanakan secara dalam talian. 

 

"Penyertaan mereka yang menepati kriteria-kriteria yang digariskan amat penting dalam memastikan maklumat yang dikumpul adalah tepat dan dapat digunapakai untuk menentukan hala tuju serta tindakan seterusnya," katanya.

 

Katanya, kajian ini penting dalam usaha memastikan kualiti dan persekitaran kerja bagi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dapat dinaik taraf sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia mendapat pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara, di samping memperolehi pendapatan yang lebih baik.

 

Soal selidik kajian boleh diakses dengan melayari pautan https://myworkabroad.perkeso.gov.my bermula 10 Januari 2022 sehingga 28 Februari 2022. 

 

Bagi sebarang pertanyaan, sila emel ke [email protected] untuk penjelasan lanjut. - DagangNews.com