KUALA LUMPUR 8 Dis - Sebanyak 16 pasukan e-sukan universiti dari seluruh negara berentap merebut gelaran dan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dalam perlawanan akhir University e-League (UEL) musim ke-3 pada 10 hingga 11 Disember 2022.
Penganjur dalam satu kenyataan berkata, pasukan terbabit akan bersaing dalam empat permainan bersiri, antaranya FIFA 22, Mobile Legends: Bang Bang, VALORANT dan PUBG Mobile, yang akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube UEL.
Menurutnya, selepas peringkat kelayakan dan playoff pada bulan Oktober dan November, ia menyaksikan lebih 60 universiti dan kolej mengambil bahagian dalam pusingan awal pertandingan, sebelum 16 universiti teratas layak ke perlawanan akhir.
"Antara finalis UEL, termasuk Universiti Sunway, Universiti Taylor, Universiti INTI, dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendahului.
"Manakala Kolej Universiti Jesselton, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digelar “kuda hitam” dengan strategi permainan mereka dalam pertandingan kali ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, salah sebuah perlawanan paling dinanti-nantikan akan menampilkan pemain dari Universiti Taylor berdepan dengan Sumaki 2.0 dari UiTM dalam perlawanan akhir siri Mobile Legends.
Wakil Universiti Taylor's, Muhammad Syafiq Irfan Syarein (Helios) daripada pasukan Taylor’s Elite berkata, UEL pastinya mempamerkan tahap bakat pemain e-sukan dari universiti dan kolej dari seluruh negara.
"Dengan latihan dan persediaan selama berbulan-bulan untuk acara kemuncak ini, kami berharap para pelajar dan peminat e-sukan akan mengikuti kami dan menyaksikan perlawanan akhir pada hujung minggu ini," katanya.
Untuk maklumat terkini mengenai University e-League (UEL), lawati laman Instagram, atau laman web: http://www.universityeleague.com/. - DagangNews.com