1Q22: Harga sarung tangan Hartalega dijangka melonjak hingga 12.4% | DagangNews Skip to main content

1Q22: Harga sarung tangan Hartalega dijangka melonjak hingga 12.4%

Hartalega Holdings Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Harga purata jualan (ASP) sarung tangan getah syarikat Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) dijangka melonjak hingga 12.4% pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1Q22).

 

CGS-CIMB Research berkata, peningkatan harga tersebut secara tidak langsung mampu menjadikan harga sarung tangan mencecah hingga AS$93 setiap 1,000 keping.

 

"Kami menganggarkan bahawa ASP meningkat sebanyak 8.8% hingga 12.4% pada suku pertama 2022 berbanding suku sebelumnya.

 

"Ini menjadikan harga jualan meningkat kepada AS$90 hingga AS$93 bagi setiap 1,000 keping," jelas CGS CIMB Research.

 

Lonjakan tersebut bagaimanapun tidak akan berterusan pada suku kedua 2022 kerana harga sarung tangan lebih cenderung untuk menyusut.

 

Jelas Hartalega, penyusutan tersebut akan berlaku disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih rendah, penurunan harga pasaran secara menyeluruh dan situasi 'tunggu dan lihat' pelanggan.

 

Susulan itu, Hartalega menganggarkan harga jualan akan mula menurun sebanyak 24% pada suku kedua 2022 berbanding suku sebelumnya.

 

"Kami meningkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 17.5% bagi tahun kewangan 2022 setelah menilai kepada jangkaan hasil yang lebih baik.

 

"Bagaimanapun, kami menurunkan EPS bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 sebanyak 16.5% hingga 19.9% kerana akan berlakunya penyusutan harga," jelas CGS-CIMB Research lagi.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, jangkaan penurunan ESP pada 2023 dan 2024 itu dinilai berdasarkan kepada corak pembelian pelanggan yang lebih perlahan, jangkaan penurunan harga bahan mentah dan kenaikan kapasiti sarung tangan global.

 

CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'tambah' saham Hartalega dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah iaitu RM9.68. - DagangNews.com