2 saranan berbeza terhadap saham Panasonic | DagangNews Skip to main content

2 saranan berbeza terhadap saham Panasonic

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research membuat saranan ‘pegang’ ke atas saham Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (PMM) dengan harga sasaran (TP) dikekalkan kepada RM33.

 

Dalam masa sama, CGS-CIMB turut meningkatkan unjuran perolehan sesaham (EPS) PMM bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 2.4% selepas mengambil kira margin operasi yang dicatatkan lebih tinggi daripada jangkaan. 

 

“Kami berpendapat nilai sahamnya akan disokong oleh kadar hasil dividen yang menarik bagi FY21 hingga FY23 sebanyak 7.2%, melihatkan kepada persekitaran kadar faedah yang rendah buat masa ini. 

 

“Risiko kenaikan termasuk pemulihan jualan yang lebih baik daripada jangkaan. 

 

“Risiko penurunan pula termasuk jualan eksport lebih lemah, penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja di bahagian pengeluaran yang menyebabkan operasi dihentikan seketika serta kos operasi lebih tinggi,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Bagaimanapun, saranan berlainan pula dibuat oleh MIDF Research yang menyarankan pelabur untuk ‘beli’ saham PMM dengan TP turut dikekalkan kepada RM35.45.

 

“Kami percaya prospek dan perolehan PMM akan pulih sejajar dengan permintaan dan pemulihan ekonomi makro yang lebih meluas.

 

“Ini disokong oleh kunci kira-kira PMM yang kukuh di mana terdiri daripada timbunan tunai RM498.0 juta dan hasil dividen yang menarik sebanyak 6.0%,” kata MIDF dalam nota kajian berbeza.

 

PMM mencatatkan keuntungan bersih teras bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (9MFY21) sebanyak RM78.1 juta, menyusut -11.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Namun, prestasi itu melebihi 80% jangkaan yang dibuat oleh CGS-CIMB dan pendapatan bersih yang dicatatkan bagi tempoh sama melebihi 86.2% daripada ramalan dibuat MIDF.

 

Ini didorong oleh margin operasi yang lebih baik daripada jangkaan bagi suku ketiga FY21 (3Q21) di mana keuntungan bersihnya melonjak sebanyak 22.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

PMM berjaya mencatatkan prestasi itu walaupun kilangnya terpaksa ditutup selama seminggu pada Disember 2020 sebagai langkah untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pekerjanya. 

 

Secara keseluruhan, hasil PMM bagi 9MFY21 menyusut sebanyak 16.3% berbanding tempoh sama tahun lalu susulan prestasi lemah pada 2Q21 apabila kilang-kilang PMM terpaksa ditutup lebih daripada sebulan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

MIDF menjangkakan kerugian jualan akibat penutupan kilang PMM pada Disember tahun lalu sekitar RM36 juta. 

 

“Kami menjangkakan jualan daripada penangguhan pengeluaran dan penghantaran pada 3Q21 akan dibawa kepada 4Q21,” tambah MIDF lanjut. - DagangNews.com