20 pasukan finalis SME Bank 90-Days Biz Challenge catat nilai jualan lebih RM500,000 | DagangNews Skip to main content

20 pasukan finalis SME Bank 90-Days Biz Challenge catat nilai jualan lebih RM500,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Program pertandingan perniagaan, 'SME Bank 90-Days Biz Challenge 2022' berjaya mencungkil bakat keusahawanan 20 pasukan finalis daripada Kolej Komuniti dan Politeknik apabila perniagaan yang mereka jalankan mencatat nilai jualan lebih setengah juta ringgit, sepanjang 10 bulan tempoh pertandingan itu.

 

Jualan tersebut sekaligus mengatasi rekod jualan bernilai RM103,000 yang dicatatkan pada edisi sebelum ini. 

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Ahmad berkata, secara keseluruhannya, sejak program SME Bank 90 Days Biz Challenge dimulakan pada tahun 2015, jumlah nilai jualan yang dicatatkan oleh semua peserta adalah sekitar RM1.43 juta. 

 

"Ini membuktikan dengan latihan, bimbingan yang bersesuaian serta semangat juang yang tinggi, bidang perniagaan yang diceburi oleh golongan remaja boleh berjaya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, SME Bank 90-Days Biz Challenge adalah program tanggungjawab korporat utama anjuran SME Bank dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi. 

 

"Setakat ini, ia telah memanfaatkan 1,692 pelajar dan rekod kami menunjukkan tujuh syarikat masih aktif dan terus menjalankan perniagaan mereka walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan kawalan pergerakan dua tahun yang lalu," katanya.

 

Untuk menjadikan program ini lebih relevan dan mencerminkan realiti perniagaan masa kini, penekanan diberikan kepada aspek pemasaran digital melalui penghasilan dua video perkembangan perniagaan untuk dimuatnaik ke Facebook dengan tujuan mendapatkan markah tambahan melalui jumlah tanda suka (like) tertinggi. 

 

 

sme

 

 

Secara keseluruhannya, video-video tersebut telah mendapat jumlah tanda suka sebanyak 52,078 kali dan ditonton orang ramai sebanyak 46,505 kali.

 

Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat  SME Bank telah dilantik untuk menjadi jurulatih perniagaan bagi program ini. 

 

Pendekatan 'hands-on' yang digunakan oleh CEDAR memastikan peserta mengaplikasikan ilmu keusahawanan dan pemasaran digital yang telah dipelajari ke dalam perniagaan mereka. 

 

Antara topik keusahawanan yang telah dipelajari oleh para peserta finalis termasuk teknik pembentangan atau pitching, penyediaan laporan perniagaan dan analisis SWOT.

 

SME Bank telah menyediakan hadiah wang tunai secara keseluruhannya sebanyak RM45,000 untuk para pemenang. Juara pertandingan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, piala pusingan, trofi dan sijil, manakala naib juara sebanyak RM15,000 beserta trofi dan sijil dan tempat ketiga berjumlah RM10,000 bersama trofi dan sijil penyertaan. - DagangNews.com