2021: Defisit fiskal 5.4%, terbitan bon dijangka cecah RM160 bilion | DagangNews Skip to main content

2021: Defisit fiskal 5.4%, terbitan bon dijangka cecah RM160 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Jumlah terbitan bon kasar dijangka mencecah RM160 bilion pada tahun 2021, menurut jangkaan Franklin Templeton. 

Jangkaan itu dibuat berdasarkan defisit fiskal 5.4% atau RM84.8 bilion pada 2021 yang disasarkan dalam Belanjawan 2021 dengan kematangan bon kerajaan pada kadar RM73.7 bilion.

“Pada pandangan kami, pasaran bon pada tahun itu dijangka tidak menentu dengan kadar hasil meningkat dan lengkungannya dijangka meningkat sedikit di seluruh bidang dalam kecenderungan yang mendadak.

“Bekalan bon kerajaan utama, bon dijamin kerajaan dan bon perbadanan dijangka meningkat memandangkan kesemua segmen bergesa-gesa untuk memanfaatkan peluang untuk mengumpul dana ketika persekitaran kadar faedah yang menarik.

“Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar monetari dalam dua perjumpaan dasar mereka dan dengan jangkaan pemulihan yang kukuh pada 2021 serta inflasi lebih tinggi, kadar itu dijangka kekal pada 1.75% sepanjang 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia, Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn. Bhd, Hanifah Hashim dalam satu kenyataan.

 

Hanifah Hashim
Hanifah Hashim

 

Tambah Hanifah, kadar faedah yang rendah akan terus menarik penerbit bon baharu dan sedia ada .

“Dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah membuat keputusan untuk meneruskan projek infrastruktur pengangkutan sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion. 

“Kami menjangkakan lebih banyak syarikat pembinaan memanfaatkan pasaran bon untuk mendapatkan pembiayaan, serta sebahagian daripada projek akan dibiayai menerusi penerbitan bon dijamin kerajaan pada tahun 2021,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan Kanan, Pengarah Pengurusan Portfolio Franklin Templeton Emerging Markets Equity, Sukumar Rajah percaya insentif seperti Skim Transformasi Pendigitalan Industri akan memacu impak positif ke atas syarikat-syarikat di Malaysia dalam jangka masa panjang.  

 

Sukumar Rajah
Sukumar Rajah

 

“Bagaimanapun, cabaran seperti peningkatan kes COVID-19, pemulihan ekonomi global yang lebih lemah daripada jangkaan, harga minyak lebih rendah dan peristiwa geopolitik mungkin terus mempengaruhi haluan pasaran dalam masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com