2021 : Fitch Solutions unjur Malaysia catat sifar KDNK | DagangNews Skip to main content

2021 : Fitch Solutions unjur Malaysia catat sifar KDNK

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Ekonomi Malaysia diunjur berdepan sifar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini ekoran pelaksanaan langkah sekatan yang ketat bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Ia disemak turun oleh Fitch Solutions Country Risk & Industry Research berbanding unjurannya sebelum ini pada 4.9%. 

 

Lebih membimbangkan, ia menyatakan berlakunya risiko penurunan kepada unjuran tersebut disebabkan 'risiko politik tahap tertinggi' sejak bermulanya awal separuh kedua tahun ini. 

 

Apatah lagi risiko ini semakin memburuk dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

 

Sifar KDNK bermakna ekonomi tidak meningkat atau merosot, dan mungkin menandakan kadar pengangguran yang tinggi atau tiada pertumbuhan dari segi pekerjaan.

 

Dalam laporannya hari ini, unit kepada agensi penarafan Fitch Group berkata, semakan semula itu dibuat kerana ia tidak menjangkakan sekatan pergerakan akan berpanjangan sehingga memasuki separuh kedua 2021.

 

Menurutnya, kes jangkitan harian juga tidak menunjukkan banyak perubahan meskipun langkah sekatan yang ketat dilaksanakan, sebaliknya terus merekodkan kes harian tertinggi sepanjang separuh pertama Ogos. 

 

"Pada masa sama, semakan semula itu juga berdasarkan kepada prestasi ekonomi Malaysia suku kedua yang dilihat 'lebih jauh berbanding jangkaan kami sebelum ini'," katanya. 

 

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 16.1% pada suku kedua 2021 berbanding penguncupan 0.5% pada suku sebelumnya mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua 2020. 

 

Bagi tempoh sama tahun lalu, KDNK Malaysia menguncup 17.1%, paras terendah yang direkodkan sejak suku tahun keempat 1998 (-11.2%).

 

Prestasi ekonomi suku kedua ini disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport terus mantap. 

 

BNM turut menyemak semula unjuran KDNK tahun ini lebih rendah antara 3 hingga 4% berbanding 6 hingga 7.5% sebelum itu. 

 

Fitch Solutions juga berkata, prospek permintaan domestik dilihat semakin malap dan penggunaan swasta dijangka lebih buruk berbanding 2020, manakala pelaburan pula hanya menyaksikan sedikit perubahan.  

 

"Dengan eksport bersih juga cenderung membuktikan sedikit pengurangan daripada pertumbuhan utama kerana masalah permintaan luaran yang timbul ekoran pasaran Asia masih bergelut dengan pandemik COVID-19, penggunaan kerajaan kini menjadi satu-satunya sumber sokongan untuk ekonomi pada 2021," jelasnya.

 

Berdasarkan pengiraannya, penggunaan swasta merosot 11.5% suku ke suku berbanding kadar purata pertumbuhan 5 tahun suku ke suku sebanyak 2.4% untuk suku kedua.

 

Menurut agensi itu, ia menunjukkan kesan yang teruk daripada gelombang ketiga jangkitan COVID-19 kepada enjin pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan swasta yang merangkumi kira-kira 70% daripada KDNK.

 

"Meskipun kadar vaksinasi bergerak pantas, tetapi negara sukar mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini, yang secara tidak langsung menggugat prospek lonjakan ekonomi pada akhir 2021," katanya. - DagangNews.com