2021 : KDNK kekal diunjur berkembang 6-7.5% | DagangNews Skip to main content

2021 : KDNK kekal diunjur berkembang 6-7.5%

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Ekonomi Malaysia berada dalam landasan pemulihan dan mampu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjur berkembang pada 6 hingga 7.5% walaupun negara kembali melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 12 Mei ini.

 

Ini kerana menurut Bank Negara Malaysia (BNM), meskipun langkah-langkah pembendungan dilaksanakan semula baru-baru ini, kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang teruk berbanding 2020 berikutan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. 

 

Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah berkata, secara keseluruhan, pemulihan pertumbuhan dijangka memperoleh manfaat daripada permintaan global yang lebih baik, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat serta sokongan dasar yang berterusan. 

 

Hal ini juga, katanya, mencerminkan pemulihan keadaan pasaran pekerja, terutama berikutan aktiviti pengambilan pekerja yang meningkat secara beransur-ansur. 

 

"Sama seperti PKP 2.0, PKP 3.0 yang dilaksanakan hampir kurang sama dengan semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dan ini mengurangkan impak pelaksanaan PKP, sekali gus membolehkan langkah pemulihan ekonomi negara diteruskan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian selepas membentangkan prestasi ekonomi suku pertama 2021 secara maya hari ini.

 

Dalam pembentangan itu, beliau berkata, pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta daripada loji pengeluaran minyak dan gas akan memberi dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan. 

 

"Pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi. 

 

"Namun, kadar pemulihan dijangka tidak sekata merentas sektor ekonomi," tambahnya.

 

Nor Shamsiah menjelaskan, pada masa hadapan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang lebih kukuh. 

 

"Meskipun prospek pertumbuhan akan terus bergantung pada perkembangan berhubung dengan pandemik, pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang bertujuan untuk mengawal aktiviti sosial dan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi akan mengurangkan impak terhadap kegiatan ekonomi," jelas beliau.

 

Pada 2021, purata inflasi keseluruhan dijangka lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%, disebabkan terutama oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat. 

 

Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun ini. 

 

Keadaan ini didorong oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama 2020.

 

Inflasi keseluruhan bagi April dan Mei dijangka meningkat antara 6.5% hingga 7.0%. 

 

Bagaimanapun, jelas beliau, keadaan ini bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan dijangka kembali ke paras bawah 5% pada Jun, dan terus sederhana selepas itu apabila kesan asas luput. 

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, dengan purata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini berikutan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 

 

Namun begitu, prospek inflasi bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi. - DagangNews.com