2021 : Pendapatan TNB dijangka terus teguh  | DagangNews Skip to main content

2021 : Pendapatan TNB dijangka terus teguh 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Firma penyelidikan optimis Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus mencatat prestasi yang lebih baik tahun ini. 

 

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry dalam nota kajian mengunjurkan pendapatan syarikat utiliti negara ini akan meningkat 22% tahun ke tahun. 

 

Ini memandangkan tahun ini dijangka tiada lagi faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kewangan TNB pada 2020. 

 

"Antaranya, termasuklah gangguan loji janakuasa yang tidak dijangka, kerugian runcit dan diskaun Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang kesemuanya berjumlah kira-kira RM670 juta. 

 

"Sementara menunggu hasil parameter Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3), buat masa ini, kami secara konservatif menganggap pertumbuhan marginal untuk pendapatan bagi tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengurangkan pendapatan bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 9% dengan mengambil kira kos kewangan dan susut nilai yang tinggi.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, TNB merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.6 bilion berbanding RM4.45 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut berkurangan 13.7% kepada RM44 bilion berbanding RM50.9 bilion tahun sebelumnya berikutan jualan elektrik yang lebih rendah dan pelarasan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

 

Pelarasan ICPT sebanyak RM3 bilion ini disebabkan harga bahan api yang rendah berbanding kedudukan surcaj RM1.9 bilion pada tahun kewangan 2019.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keuntungan bersih yang rendah itu adalah disebabkan kesan yang teruk akibat wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat aktiviti ekonomi. 

 

Selain itu, katanya ia disebabkan kesan daripada Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 sebanyak RM613.4 juta, pendapatan pembiayaan yang rendah serta diskaun TNB sebanyak RM250 juta yang ditawarkan kepada pelanggan sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 diselaraskan kepada 0.05 hingga 0.1% selepas prestasi tahun kewangan 2020. 

 

Harga sasaran TNB disemak semula kepada RM13.40 ketika firma itu memulakan penilaian bagi tahun kewangan 2020, berasaskan 15x P/E.

 

"Kami melihat risiko pengawalseliaan pembaharuan sektor adalah rendah, kemungkinan besr mengekalkan kedudukan monopoli dalam segmen transmisi dan pengedaran dan untuk hasil dividen yang lebih baik (lebih 4% untuk 2021-2023)," katanya.  

 

Bagi suku keempat 2020, Lembaga Pengarah TNB meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18 sen sesaham dan ini meningkatkan jumlah dividen satu peringkat kepada 40 sen sesaham bagi tahun kewangan 2020.

 

Selain itu, Lembaga Pengarah meluluskan dividen khas sebanyak 40 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham sebanyak 80 sen, dengan nilai keseluruhan RM4.6 bilion untuk tahun kewangan ini. - DagangNews.com