2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dinaikkan gred | DagangNews Skip to main content

2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dinaikkan gred

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dirakam gambar bersama guru-guru pada Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2022. - Gambar Mir Haaziq Hasrap

KUALA LUMPUR 1 Okt - Kerajaan bersetuju supaya gred Guru Besar (khas untuk penyandang) dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Guru Besar Gred DG48 tidak diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau guru biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan DG54 secara 'time based' Berasaskan Kecemerlangan (TTBK).

 

Beliau berkata, laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga ke gred DG52 dan DG54, berikutan 90.68 peratus guru sekolah rendah sudah pun berada di gred siswazah.

 

"Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48, diberi peluang untuk dilantik sebagai Guru Penolong di Sekolah Rendah. Justeru, Guru Penolong Kanan di sekolah rendah, tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja. 

 

"Selaras dengan keputusan pertama, Guru Penolong Kanan yang sudah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi, kekal di jawatan terbabit sehingga Gred DG54," katanya.

 

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini. Yang turut sama hadir, Presiden NUTP, Aminuddin Awang.

 

Perdana Menteri berkata, peningkatan gred jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan ini akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara.

 

Katanya, Kementerian Pendidikan juga sedang mengkaji struktur perjawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah.

 

Selain itu, Perdana Menteri turut memberi perhatian terhadap isu-isu yang melibatkan guru-guru termasuk isu kadar bayaran Pengawas Peperiksaan Awam dan juga kadar bayaran Pemeriksa Kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tidak setimpal dengan keadaan semasa.

 

"Pada masa yang sama, Kerajaan juga sedang berusaha mengatasi pelbagai isu yang membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi
menjaga aspek keselamatan, elaun penolong kanan sekolah yang perlu dikaji semula dan kekurangan guru yang harus diatasi segera," ujarnya.

 

Kerajaan juga kata Perdana menteri, menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 buah sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini selaras dengan perkembangan teknologi semasa. - DagangNews.com