215,876 dos diberikan semalam, jumlah kumulatif cecah 4.9 juta | DagangNews Skip to main content

215,876 dos diberikan semalam, jumlah kumulatif cecah 4.9 juta

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Malaysia terus mencatatkan peningkatan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin kepada 4.9 juta dos setakat 15 Jun 2021.

 

Menurut data yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah berkenaan meliputi 3.4 juta pemberian dos pertama dan 1.4 juta bagi pemberian dos kedua.

 

Lebih menggembirakan, Malaysia turut mencatatkan rekod baharu dalam jumlah pemberian vaksin secara harian semalam.

 

.

 

Rekod baharu yang dicatatkan itu adalah sebanyak 215,876 dos vaksin, berbanding jumlah tertinggi sebelum ini iaitu 197,963 dos.

 

Daripada jumlah keseluruhan pemberian dos semalam, sebanyak 160,226 melibatkan dos pertama dan 55,650 adalah pemberian dos kedua.

 

.

 

Sementara itu, jumlah pendaftaran vaksinasi di negara ini turut menunjukkan perkembangan positif menghampiri 60%.

 

Hingga semalam, peratusan pendaftaran vaksinasi negara mencecah 59.10% dengan jumlah kumulatif 13.83 juta.

 

.

 

Selangor terus mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 3.5 juta, diikuti Johor  (1.7 juta), Sarawak (1.3 juta) dan Kuala Lumpur (1.1 juta). 

 

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang semalam telah memutuskan untuk memberi kelulusan  pendaftaran bersyarat dua produk vaksin baharu iaitu CanSino dan Johnson & Johnson.

 

Kedua vaksin yang hanya memerlukan hanya satu dos pelalian itu telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

 

Dalam pada itu, PBKD turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas. - DagangNews.com