Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Jun - Kerajaan akan membuat pertimbangan peralihan PKP Fasa 1 kepada Fasa 2 melalui tiga penilaian.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peralihan kepada Fasa 2 itu akan dibuat setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes.
Keduanya, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana.
Selain itu, peralihan tersebut akan dibuat sekiranya mencapai 10% populasi yang telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Jelas beliau, Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.
"Semasa Fasa Kedua aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis.
"Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor.
"Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan," katanya ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara hari ini.
Pelan berkenaan merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pendemik COVID-19.
Tambah beliau lagi, penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 adalah termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.
Beberapa aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dalam senarai positif akan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot. - DagangNews.com