3 pintu ICQS sempadan Malaysia-Thailand dibuka mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

3 pintu ICQS sempadan Malaysia-Thailand dibuka mulai hari ini

KOTA BHARU 5 Mei - Tiga pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, dibuka mulai hari ini bagi tujuan komersial serta lawatan sosial.

 

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan, Azhar Abd Hamid, berkata tiga pintu ICQS terbabit ialah Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.

 

Beliau berkata, individu yang ingin memasuki Thailand dan Malaysia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kedua-dua negara.

 

"Semua pengembara boleh masuk keluar melalui pintu sempadan, mulai pagi tadi, mengikut SOP ditetapkan.

 

"Selain itu, antara syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) ialah pengembara dari Thailand perlu lengkap status vaksinasi dan menyediakan dokumen perjalanan yang lengkap," katanya, lapor Bernama, hari ini.

 

Terdahulu, Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Taib, berkata pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar turut dibuka, hari ini, dari jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. - DagangNews.com