322,177 majikan terima Program Subsidi Upah 1.0  | DagangNews Skip to main content

322,177 majikan terima Program Subsidi Upah 1.0 

Gambar Kompleks PKNS Shah Alam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, permohonan PSU yang diluluskan telah mencecah RM12.891 bilion setakat 4 Jun 2021.

 

“Setakat 4 Jun, sejumlah RM1.215 bilion telah disalurkan kepada 74,075 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 645,522 pekerja (bagi PSU 2.0),” ujar beliau dalam Laporan Laksana Ke-57 secara maya hari ini. 

 

tengku Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Aziz

 

Sementara itu, bantuan dana Bumiputera Relief Financing (BRF) juga telah disalurkan kepada 749 PKS melibatkan jumlah RM226.8 juta setakat tempoh sama, tambah Tengku Zafrul. 

 

Sebagai rekod, bantuan dana itu diberikan kepada PKS Bumiputera yang terkesan akibat COVID-19, dengan pembiayaan antara RM100,000 dan RM1 juta bagi PKS terlibat. 

 

Katanya, kerajaan juga telah meluluskan 327 permohonan PKS dan PKS mikro dalam sektor pelancongan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM65.1 juta.

 

Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.

 

Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) pula menyaksikan sebanyak RM421.2 juta telah disalurkan kepada 12,667 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, setakat 4 Jun lalu. - DagangNews.com