Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Syarikat yang mengendalikan jenama myNEWS.com, Mynews Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih sehingga RM5.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2020 (3Q20) berbanding keuntungan bersih RM7.5 juta yang diperoleh pada tempoh sama tahun lalu.
Kerugian itu disebabkan oleh penutupan sementara kedai dan kehadiran pengunjung yang lemah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang lalu.
Ini menjadikan kerugian bersih bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 (9MFY20) mencecah RM3.7 juta berbanding keuntungan bersih RM23.8 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi itu jauh kebelakang daripada ramalan kami,” kata analisis CGS-CIMB Research.
Hasil yang dicatatkan bagi suku berkenaan merosot 16.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, pusat pemprosesan makanan (FPC) baharu kumpulan itu turut mencatatkan kerugian sebanyak RM2.5 juta bagi suku berkenaan, 10.7% lebih rendah berbanding suku sebelumnya.
Bagi mengelak kerugian dan pembaziran produk makanan, pengeluaran FPC dihentikan selama enam minggu bermula 1 Mei hingga 14 Jun.
“Walaupun kami menjangkakan pemulihan perolehan pada suku keempat (4QFY20), namun kini kami menjangkakan Mynews Holdings mengakhiri tahun kewangan 2020 dengan tidak menguntungkan ekoran pemulihan tidak cukup untuk menampung kerugian bersih 9MFY20.
“Kami kurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 9.4% hingga 9.7% berdasarkan kehadiran pelanggan yang lemah dan margin kasar yang lebih rendah,” tambah CGS-CIMB.
Sehubungan itu, CGS-CIMB menyarankan untuk ‘pegang’ saham Mynews Holdings dengan sasaran harga lebih rendah, RM0.64. - DagangNews.com