4 wakil negara berentap di suku akhir Terbuka Indonesia hari ini | DagangNews Skip to main content

4 wakil negara berentap di suku akhir Terbuka Indonesia hari ini

Pasangan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin akan membuat perhitungan bersama pasangan No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo bagi ke saingan separuh akhir Terbuka Indonesia.
 
 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Empat wakil negara akan membuat perhitungan bagi merebut tempat ke saingan separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia yang sedang berlangsung di Bali, hari ini.

 

Pasangan beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin akan akan berusaha melunaskan dendam mereka terhadap pasangan No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo selepas enam kekalahan termasuk kali terakhir di Indonesia Masters, minggu lalu.

 

Kejayaan melangkah ke saingan suku akhir mencerahkan laluan Ee Yi-Yew Sin ke saingan Akhir Jelajah Dunia yang akan berlangsung minggu hadapan di lokasi sama yang menawarkan hadiah AS$1.5 juta (RM6.35 juta) secara keseluruhan.

 

Turut beraksi hari ini ialah pasangan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selepas mereka menyingkirkan juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan pada pusingan kedua untuk bertemu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

 

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akan bertemu pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyu-Eom Hye Won bagi mencerahkan laluan mereka ke saingan Akhir Jelajah Dunia bersama satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

 

Sementara itu, Kian Meng-Pei Jing akan bertemu pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai bagi merebut slot ke saingan empat terbaik.

 

Dalam pada itu, harapan untuk menyaksikan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah mara ke suku akhir tidak kesampaian selepas tewas kepada wakil tuan rumah Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-14, 20-22, 17-21.

 

"Keputusan hari ini, memang sangat mengecewakan kerana kami sepatutnya memang perlawanan ini. 

 

"Namun, ini adalah pengajaran buat kami. Dalam perlawanan ini, kami boleh nampak tahap kecergasan dan fokus dalam gelanggang belum sampai standard yang tinggi. Kami belum matang dalam permainan lagi dan masih banyak yang kami perlu perbaiki," kata Pearly.-Dagangnews.com