4,000 pengunjung hadir Pasar Loka Klasik anjuran pelajar Masscomm UiTM untuk kumpul dana sekolah tahfiz | DagangNews Skip to main content

4,000 pengunjung hadir Pasar Loka Klasik anjuran pelajar Masscomm UiTM untuk kumpul dana sekolah tahfiz

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Lebih 4,000 pengunjung menghadiri program “Pasar Loka Klasik” yang dianjurkan pelajar tahun akhir jurusan perhubungan awam Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor di universiti tersebut, baru-baru ini.

 

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan keusahawanan bertemakan vintaj itu bertujuan mengumpul dana untuk anak-anak tahfiz dari Ma'ahad Tahfiz Teduhan Kasih (MTTK) di Sungai Buloh.

 

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Madya Dr Abdul Rasid Abdul Rahman berkata, Pasar Loka Klasik tidak hanya bertujuan untuk mengumpulkan dana, tetapi juga membangkitkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa terhadap CSR. 

 

"Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada pemilik perniagaan kecil untuk mengembalikan semula rasa nostalgia terhadap barangan antik dengan memupuk penghargaan terhadap budaya tradisional Malaysia dalam kalangan pelajar UiTM Shah Alam.

 

"Program ini berkonsepkan klasik yang mana kita dapat lihat meskipun zaman kian berubah namun retro tetap mendapat tempat dalam hati generasi masa kini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, projek tahun akhir tersebut dirasmikan oleh Abd Rasid yang diketuai ketua projek, Hazwien Aifa Hisham dengan bimbingan pensyarah, Abuzar Abdul Halim.

 

 

uitm

 

 

uitm

 

 

uitm

 

 

Antara acara menarik yang dijalankan, termasuk pertunjukan Vespa, Projek Anak Jantan, Projek Anak Gadis, gerai foto, aktiviti mewarna batik, permainan tradisional dan persembahan muzik yang mengimbau kenangan.  - DagangNews.com