5 perkara tentukan prestasi pasaran Malaysia pada Oktober 2020 | DagangNews Skip to main content

5 perkara tentukan prestasi pasaran Malaysia pada Oktober 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - CGS-CIMB Research menyenaraikan lima perkara yang bakal menentukan minat pelabur terhadap pasaran Malaysia pada bulan ini. 

Ini termasuk perkembangan politik Malaysia selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan, tempoh moratorium tamat pada 30 September lalu yang menjejaskan trend pasaran terkini serta pinjaman moratorium bersasar dan Program Subsidi Upah 2.0 bermula 1 Oktober lalu. 

Selain itu, laporan kes baharu COVID-19 di Malaysia yang kian meningkat, pengumuman kerajaan dan hasil rundingan perjanjian Brexit pada 15 Oktober ini, perbahasan Presiden Amerika Syarikat (AS) dan sesi perjumpaan ke-5 China untuk meluluskan rancangan ekonomi 2021-2025.

“Berdasarkan data sejarah KLCI, prestasi indeks itu cenderung positif pada Oktober 2020 dengan pulangan dari bulan ke bulan sebanyak 1.5% dalam tempoh 10 tahun dan 1.2% bagi tempoh 40 tahun. 

“Berdasarkan trend terdahulu, pasaran ekuiti Malaysia selalunya berprestasi baik pada bulan Oktober susulan penantian pengumuman Bajet oleh kerajaan. Bagaimanapun, Bajet 2021 sebaliknya dibawa ke 6 November,” jelas laporan strategi CGS-CIMB. 

September 2020 menyaksikan KLCI meneruskan trend menurun untuk dua bulan berturut-turut ekoran pengambilan untung (profit-taking) di seluruh sektor utama. 

KLCI pada September 2020 menyaksikan penurunan 20 mata, ditutup pada paras 1,504.

Prestasi itu dipercayai didorong oleh pengambilan untung dalam kaunter pengeluar sarung tangan, kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik, pengakhiran moratorium pinjaman pada 30 September dan peningkatan kes COVID-19 baharu selepas pilhan raya negeri (PRN) Sabah.

Syer aktiviti perdagangan harian peserta runcit turun enam mata peratusan kepada 38% pada bulan September kerana minat terhadap saham pudar menjelang akhir moratorium pinjaman pada 30 September. 

“Pelabur runcit kunci utama mengimbangi penjualan ekuiti Malaysia oleh pelabur asing bernilai RM1.97 bilion. Aliran keluar bersih asing selama sembilan bulan pertama 2020 bernilai RM22.1 bilion, 101% lebih tinggi berbanding RM11 bilion pada 2019,” tambah CGS-CIMB. 

Indeks KLCI pada Oktober 2020 dijangka kekal dalam mod konsolidasi di mana prestasi saham atau sekuriti yang tidak berterusan atau membalikkan trend harga yang lebih besar. - DagangNews.com