Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Feb. - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempertimbangkan banyak faktor sebelum memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan menjadikan Boustead Holdings Bhd. sebagai syarikat persendirian.
Tidak seperti langkah penswastaan yang lain, kedudukan LTAT adalah unik kerana ia ditadbir di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973.
Dalam kenyataan hari ini, LTAT menjelaskan, sekalipun semakin menghampiri tarikh akhir pada 2 Februari lalu, LTAT menyedari keputusan yang dibuat dengan membiarkan ia melepasi tempoh tersebut setelah melihat beberapa keadaan membelenggu langkah penswastaan itu, mengakibatkan peningkatan risiko.
"Kami sedar apa yang kami lakukan ini demi kepentingan pihak berkepentingan utama terutamanya penyumbang kami, anggota Angkatan Tentera," katanya.
LTAT menyatakan 5 keadaan mengapa langkah tersebut diambil dalam kenyataannya hari ini.
Ketidaktentuan yang berlaku akibat wabak COVID-19 kemungkinan akan terus melambatkan lagi langkah penswastaan ini.
Segmen perniagaan utama Boustead Group masih terjejas akibat COVID-19 seperti perbankan, hotel, hartanah dan petroleum runcit.
Ketidaktentuan berterusan dalam projek Littoral Combat Ship (LCS).
Perubahan atau peralihan kepimpinan di LTAT dan Boustead, yang memerlukan masa mencukupi untuk mengkaji semula projek atau inisiatif yang sedang berjalan.
Pencerahan mengenai pelan pemulihan Boustead termasuk langkah untuk menangani tahap hutang.
Pada Selasa, LTAT mengambil keputusan membatalkan cadangan menjadikan Boustead sebagai syarikat persendirian selepas penilaian berhati-hati dilakukan membabitkan pelbagai faktor dalam melaksanakan cadangan berkenaan.
LTAT pada Mei lalu, mempertimbangkan pilihan mengenai penguasaan kepentingannya dalam Boustead termasuk dengan menjadikan konglomerat itu sebagai syarikat persendirian.
Agensi itu mempunyai 59% kepentingan dalam Boustead, menerima kelulusan untuk pinjaman bagi membiayai urus niaga berkenaan.
Potensi menjadikan Boustead syarikat persendirian muncul susulan usaha penstrukturan semula LTAT di tengah-tengah cabaran prestasi yang dicetuskan oleh krisis COVID-19.
Mengulas lebih lanjut, LTAT berkata, meskipun langkah penswastaan ini tidak tepat pada masanya ketika ini, tetapi tempoh akhir yang berlaku membolehkan penilaian semula strategi dilaksanakan dan memperincikan pelan transformasi 5 tahun LTAT.
"Dalam konteks ini, kami tetap teguh meneruskan langkah transformasi untuk muncul sebagai dana pencen bertaraf dunia.
"Sejajar dengan objektif penyumbang pencen, kami tetap setia berperanan sebagai pelabur jangka panjang dan penjaga modal, justeru, kami tidak teragak-agak dalam melaksanakan setiap strategi pelaburan," katanya.
LTAT kini memberi fokus kepada pelaksanaan kerangka kerja peruntukan aset strategik, yang diselesaikan menjelang akkhir 2020.
Kerangka ini membolehkan agensi itu menetapkan sasaran jangka panjang untuk menggunakan modal ke arah kepelbagaian portfolio pelaburan.
Sehubungan itu, jelasnya, LTAT mahu mengimbangi portfolionya dengan meningkatkan pelaburan pendapatan tetap sebanyak 20%, mengurangkan pegangan dalam hartanah dan ekuiti persendirian, masing-masing 10%, meningkatkan kepelbagaian portfolio ekuiti awam (50%) dan mengekalkan kelas aset lain termasuk instrumen pasaran kewangan.
"Bagi peringkat seterusnya, kami berhasrat untuk memulakan kepelbagaian di peringkat antarabangsa, seperti yang dilakukan oleh institusi lain," katanya.
LTAT juga memberitahu, akan terus bekerjasama dengan Boustead dalam pelan 'Rejuvenating Boustead' dan strategi pertumbuhan masa depan.
Data Bloomberg menunjukkan selain memiliki kepentingan terbesar dalam Boustead, LTAT juga memiliki 35% pegangan dalam Affin Bank Bhd. - DagangNews.com