KUALA LUMPUR 13 Jan - Visa, pemimpin dunia dalam pembayaran digital, mendedahkan sebahagian besar iaitu 55 peratus pengguna di Malaysia boleh hidup selama lebih seminggu tanpa menggunakan tunai.
Visa menerusi hasil kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa terkini memaklumkan, angka tersebut meningkat 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pandemik ini mendorong pengguna Malaysia untuk memilih bayaran digital berbanding tunai dalam jangka panjang dengan lebih daripada satu dalam empat responden (28 peratus) berkata mereka berkemungkinan besar tidak lagi menggunakan tunai selepas pandemik.
Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, peristiwa yang berlaku sejak tahun kebelakangan ini telah membawa perubahan ketara dalam cara hidup dan bekerja.
"Pandemik telah menggiatkan transformasi digital dan cara rakyat Malaysia memilih untuk membayar dan menerima bayaran. Di Visa, kami mengikuti perkembangan dan perubahan tingkah laku pengguna.
Daripada maklumat yang telah kami kumpul dalam kajian selama bertahun-tahun, perubahan ke arah pembayaran digital di Malaysia dijangka berkekalan," katanya.
Menurut Kong Boon, berasaskan kajian, lebih daripada tujuh dalam 10 rakyat Malaysia (74 peratus) telah cuba hidup tanpa tunai dalam tempoh setahun lepas.
Beliau berkata, bagi mereka yang belum mencuba pembayaran tanpa tunai, separuh (50 peratus) berkata mereka yakin dapat menjalani kehidupan harian tanpa tunai selama sehingga seminggu.
"Pengguna Malaysia percaya pandemik telah mempercepatkan usaha negara ini menjadi sebuah masyarakat tanpa tunai. Dalam keadaan semasa, kami percaya masyarakat tanpa tunai dapat dicapai menjelang 2025.
"Jika pandemik tidak berlaku, responden berpendapat masyarakat tanpa tunai tidak akan direalisasikan sehinggalah tahun 2028," katanya.
Kong Boon berkata, rakyat Malaysia percaya masyarakat tanpa tunai juga membawa pelbagai manfaat antara lain, termasuk menyekat penyebaran virus (58 peratus), memudahkan pengguna menjejak rekod kewangan (54 peratus), mengurangkan risiko kecurian (52 peratus), menawarkan pengguna pengalaman tanpa kerenah, lantas mengenepikan keperluan beratur di bank (52 peratus).
Katanya, kajian turut mendedahkan terdapat pertumbuhan penggunaan pembayaran tanpa tunai, terutamanya menerusi pembayaran QR (60 peratus), dompet mudah alih (54 peratus) dan kad tanpa sentuhan (51 peratus).
"Ini terutamanya ditunjukkan dalam kategori seperti pembayaran bil, pasar raya, beli-belah runcit, pembelian di gedung serbaneka dan tempat menjamu selera," katanya.
Beliau menambah, terdapat kecenderungan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna untuk membeli di gedung peniaga yang menerima pilihan pembayaran tanpa tunai berbanding kaedah tunai sahaja.
Jelasnya, minat terhadap inovasi tanpa tunai juga tinggi seperti kaedah pembayaran layan diri (64 peratus), pembayaran automatik dalam aplikasi (64 peratus) dan pembayaran biometrik menerusi pengesahan cap jari atau muka (60 peratus).
“Sebagai pemimpin dunia dalam pembayaran digital, kami teruja untuk melihat perubahan ketara dalam tingkah laku pengguna dan Malaysia kini menjadi negara yang semakin kurang menggunakan tunai.
"Kami sukacita untuk berkongsi hasil kajian ini dan akan terus bekerjasama dengan para pelanggan, rakan kerjasama dan pihak-pihak berkepentingan industri untuk memanfaatkan kuasa rangkaian kami bagi membolehkan individu, perniagaan dan ekonomi untuk berkembang maju,” katanya. - DagangNews.com