6 syarikat sertai FTSEGood Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

6 syarikat sertai FTSEGood Bursa Malaysia

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Bursa Malaysia Berhad mengumumkan tambahan enam lagi komponen dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dalam semakan terbaharunya pada Jun.

 

Syarikat itu termasuklah DKSH Holdings (M), Heineken Malaysia, Mah Sing Group, MNRB Holdings, Pos Malaysia dan Unisem (M).

 

Menurut Bursa Malaysia, dalam semakan itu, ia turut menyaksikan empat syarikat dikeluarkan iaitu George Kent (M), IOI Properties Group, KLCC PROP & REITS–Stapled Sec dan Top Glove Corporation.

 

"Ini menjadikan keseluruhan berjumlah 76 komponen (meningkat 76%) dalam indeks berkenaan.

 

"Semua perubahan komponen ini berkuat kuasa pada Isnin, 21 Jun 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Komponen indeks F4GBM diambil daripada indeks Emas FTSE Bursa Malaysia terdiri daripada PLC dengan pelbagai segmen pasaran modal sama ada kecil, sederhana atau besar.

 

Indeks F4GBM disemak semula pada Jun dan Disember berbanding penanda aras antarabangsa.

 

Ia diukur berdasarkan kepada prestasi syarikat tersenarai awam (PLC) yang mempunyai kekuatan dari segi amalan Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

Indeks itu dilancarkan pada Disember 2014 dengan keseluruhan 24 komponen. 

 

Jumlah komponen dalam indeks ini meningkat kepada 75 (berkembang 213%) setakat semakan akhir pada Disember 2020. 

 

Bagaimanapun, ia berkurangan kepada 74 komponen setakat Februari 2021 berikutan penyahsenaraian Chemical Company of Malaysia Bhd.

 

Bursa Malaysia berkata, pihaknya dan FTSE Russell telah menjalankan program untuk menggalakkan dan menyokong syarikat bagi menambah baik amalan ESG.

 

"Peningkatan berterusan dalam jumlah komponen mencerminkaan program ini memberi manfaat kepada mereka di samping usaha untuk menggalakkan PLC ke arah amalan terbaik ESG," katanya. - DagangNews.com