69% rakyat Malaysia mahu kekal kerja dari rumah selagi vaksinasi belum meluas | DagangNews Skip to main content

69% rakyat Malaysia mahu kekal kerja dari rumah selagi vaksinasi belum meluas

.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebanyak 69% rakyat Malaysia memilih untuk kekal bekerja dari rumah atau work from home (WFH) selagi kadar vaksinasi belum dilaksanakan dengan meluas.

 

Dapatan tersebut adalah hasil tinjauan dan kaji selidik agensi penyelesaian sumber manusia, Randstad Workmonitor bagi separuh pertama 2021.

 

Jelas agensi itu, peratusan yang ditunjukkan Malaysia itu adalah yang tertinggi di rantau ini berbanding Singapura (67%), China (45%) dan Hong Kong (48%).

 

Dapatan itu turut menunjukkan lebih tujuh daripada 10 responden atau 73% di Malaysia merasakan kurang selamat dengan persekitaran tempat kerja sehingga rakan sekerja di sekitar mereka telah diinokulasi sepenuhnya.

 

Peratusan itu adalah 12% lebih tinggi daripada Singapura (61%).

 

"Bagi responden yang bekerja di tapak kerja, 55% berkata mereka berasa berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19.

 

"Hampir tiga dari lima (59%) responden merasakan tahap produktiviti mereka terjejas kerana berasa tertekan dengan kemungkinan dijangkiti COVID-19 di tempat kerja dan membahayakan kesihatan orang yang disayangi.

 

"Disebalik kebimbangan mengenai masalah kesihatan dan keselamatan, kurang dari satu daripada dua responden (47%) berkata majikan telah memberi insentif kepada mereka untuk mendapatkan vaksin COVID-19," jelas Randstad seperti dilapor Berita Harian.

 

Mengulas dapatan tersebut, Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, keputusan kaji selidik yang menunjukkan masyarkat mengutamakan tahap kesihatan itu adalah tidak mengejutkan sewaktu pandemik kini.

 

Dalam masa sama katanya, pekerja turut mengharapkan majikan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha menjaga kesihatan dan keselamatan mereka.

 

"Sekurang-kurangnya, syarikat harus melaksanakan prosedur keselamatan dan kesihatan yang ketat dan membenarkan mereka yang dapat bekerja dari rumah untuk meneruskannya.

 

"Majikan juga harus mengukuhkan keupayaan imuniti kelompok tenaga kerja mereka dengan mendorong pekerja secara aktif untuk mengambil vaksin," katanya. - DagangNews.com