84 penduduk mangsa banjir di Larut Matang Selama dipindahkan  | DagangNews Skip to main content

84 penduduk mangsa banjir di Larut Matang Selama dipindahkan 

Pasukan penyelamat mengalihkan pokok tumbang disebabkan hujan lebat di Ijok petang semalam.
Oleh ZAKI SALLEH 

TAIPING 9 Dis - Seramai 84 penduduk daripada 28 keluarga dari beberapa buah kampung sekitar Larut Matang Selama dekat sini yang terjejas banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) awal pagi tadi.

 

Portal Pusat Kawalan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, setakat pukul 6.25 pagi tadi dua PPS telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan di Perak.

 

"PPS Sekolah Agama Rakyat Pantai Besar di Ijok, Selama menempatkan 38 mangsa daripada 16 keluarga.

 

"Seramai 46 mangsa daripada 12 keluarga pula kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Sungai Ara, Batu Kurau," ujar kenyataan itu.

 

 

banjir
Seorang penduduk memindahkan perabot setelah rumahnya dilanda banjir.

 

 

Hujan lebat sejak pukul 6 petang semalam menyebabkan air mula naik di beberapa kampung seperti Kampung Teras, Pekan Ijok dan Kampung Pantai Besar.

 

Ketika ini pemantauan masih dilakukan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

 

 

banjir
Sukarelawan MBM mengagihkan bantuan makanan penduduk mangsa banjir.

 

 

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia telah turun padang mengagihkan bantuan awal kepada mangsa banjir di sekitar Ijok dan beberapa kampung berdekatan.

 

Exco MBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan dan Belia Mahir MBM,  Ibnu Rasyeed Mat Isa memberitahu, bantuan itu berupa pek makanan siap dimakan.

 

 

banjir
Air banjir naik sehingga paras pinggang menenggelamkan bahagian bawah rumah penduduk.

 

 

Menurut beliau, agihan turut dibantu sukarelawan belia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

"Kami masuk ke kampung-kampung terjejas menaiki kenderaan pacuan empat roda dibantu pasukan 4x4 Pro Tinted yang turut sama meredah banjir menyampaikan bantuan kepada mangsa. 

 

"Pasukan sukarelawan pembersihan akan digerakkan dalam masa terdekat bagi membantu penduduk yang kediaman mereka terjejas," ujarnya. - DagangNews.com