90% unit pejabat dan kedai Setia Alamsari di Kajang habis dijual | DagangNews Skip to main content

90% unit pejabat dan kedai Setia Alamsari di Kajang habis dijual

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pembangunan perbandaran Setia Alamsari oleh SP Setia di Kajang, Selangor mencatatkan kadar pengambilan 90% yang sangat baik untuk Emporia, hartanah komersial yang pertama di perbandaran itu dalam masa sehari selepas pelancarannya pada 6 Ogos 2022.

 

Terdiri daripada 30 unit bangunan pejabat dan kedai dua tingkat yang luas, lot Emporia mempunyai tanah bersaiz dari 22 kaki kali 75 kaki dan binaan 3,208 kaki persegi hingga 6,646 kaki persegi. Harga unitnya antara RM1.57 juta hingga RM3.71 juta.

 

Emporia dijangka siap pada suku ketiga 2025 dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM60.2 juta.

 

Pengurus Besar Setia Alamsari, Soh Wai Fong berkata, sebagai hab komersial, Emporia bukan sahaja akan menambah kemeriahan kepada perbandaran dan menyediakan kemudahan kepada penduduk, tetapi juga memaksimumkan peluang perniagaan.

 

"Emporia akan memberi perkhidmatan kepada lebih 8,500 penduduk di Setia Alamsari menjelang 2025, serta lebih 240,700 daripada mereka yang tinggal di kawasan kejiranan berpenduduk sekitar dalam jarak 8 kilometer radius di Semenyih, Bandar Baru Bangi, Bangi Avenue, Bandar Seri Putra, Serene Heights dan Southville City.

 

Setia Alamsari meliputi kawasan tanah pegangan bebas seluas 775 ekar di Kajang dengan jumlah GDV RM5.1 bilion. Pembangunan kediamannya dengan reka bentuk konsep tropika menawarkan rumah superlink, semi D bersambung dan banglo.

 

Menyokong kesejahteraan penduduknya, Setia Alamsari mempunyai landskap yang mempunyai lapan taman dalam kawasan perbandaran. Taman Terusan seluas 11.3 ekar dengan tiga tasik yang menghubungkan adalah satu-satunya taman dengan ciri air pancut yang memberi manfaat kepada hidupan akuatik.

 

 

spsetia

 

 

Dengan stesen KTM UKM berdekatan, perbandaran ini menikmati sambungan ke lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Kajang Dispersal Link Expressway (SILK).

 

Perbandaran ini juga berhampiran kemudahan perubatan seperti Hospital Kajang, Pakar KPJ Kajang Hospital, dan institusi pengajian tinggi German-Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - DagangNews.com