AAX sediakan penerbangan hantar pulang antara Kuala Lumpur dan Sydney | DagangNews Skip to main content

AAX sediakan penerbangan hantar pulang antara Kuala Lumpur dan Sydney

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - AirAsia X Berhad (AAX) menyediakan perkhidmatan penerbangan untuk tujuan penghantaran balik individu pada bulan ini antara Kuala Lumpur dan Sydney, Australia.

 

Menurut AAX, penerbangan tersebut kini boleh ditempah di airasia super app dan laman web airasia.com tertakluk kepada ketersediaan dan berdasarkan permintaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail menasihatkan pelanggan untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan membuat tempahan secepat mungkin kerana tempat duduk adalah terhad.

 

“Kami memahami bahawa ramai orang menghadapi kesukaran untuk perjalanan pulang ke negara mereka kerana penerbangan adalah terhad berikutan pandemik semasa. 

 

“Justeru, kami berbesar hati untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan khas ini untuk tujuan repatriasi dan membantu membawa mereka pulang terutama sekali dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Buat masa ini, hanya dua penerbangan pergi balik tersedia pada bulan Jun, dan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sydney akan ditambah tidak lama lagi.

 

Tarikh-tarikh bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sydney adalah pada 6 dan 13 Jun.

 

Sementara penerbangan dari Sydney ke Kuala Lumpur pula pada tarikh 7 dan 14 Jun.

 

Tambah syarikat penerbangan itu, para penumpang perlu memastikan bahawa mereka memahami syarat-syarat sekatan perjalanan tertentu dan mempunyai kelulusan yang relevan oleh pihak berkuasa sebelum melakukan perjalanan. 

 

Ini termasuk mengemukakan dokumen perjalanan seperti yang diminta oleh pihak berkuasa tempatan. 

 

Peraturan kuarantin juga akan dikenakan semasa ketibaan, jelas AAX. - DagangNews.com