Abd. Latiff ketuai misi promosi produk PKS Sabah ke UK bermula 9 hingga 16 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Abd. Latiff ketuai misi promosi produk PKS Sabah ke UK bermula 9 hingga 16 Mei 2022

KUALA LUMPUR 6 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad akan mengetuai misi promosi dan jualan produk Bumiputera Sabah ke United Kingdom (UK) bermula 9 hingga 16 Mei 2022.

 

Misi itu akan menjayakan promosi 'Taste of Sabah'  yang akan berlangsung selama dua minggu di 11 restoran terkemuka di  London serta majlis memetrai memorandum persefahaman antara  Kristal Handal Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah dengan beberapa pemborong serta pengedar dan peruncit dalam talian di UK dan Perancis.

 

Abd. Latiff berkata, UK dan Perancis menawarkan pertumbuhan dan peluang yang besar bagi kerjasama perniagaan. 

 

“Saya berbesar hati mengetuai promosi Taste of Sabah ini untuk memacu peluang bagi produk Buatan Sabah bertapak di pasaran UK,” katanya, hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau menekankan bahawa matlamat Jabatan Perdana Menteri, menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) adalah untuk membantu usahawan B40 dan M40 meluaskan operasi mereka ke pasaran serantau dan global. 

 

Katanya, misi itu merupakan langkah penting dalam hala tuju yang betul bagi memastikan Program Global Entrepreneur One-Stop Centre (GLOPEC) dan usahawan Sabah yang menyertainya boleh menjalin rangkaian, mempelajari tentang peluang perniagaan dan membina hubungan yang lebih kukuh.

 

Pada masa sama katanya, mereka berpeluang mengembangkan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada komuniti bagi model perniagaan yang lebih mampan dan inklusif.  

 

GLOPEC merupakan platform yang diwujudkan menerusi perkongsian strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah  dan Unit Tindakan Afirmatif Bumiputera di bawah TERAJU untuk membantu PKS Sabah mengembangkan operasi perniagaan dan menghubungkan mereka kepada rangkaian pembekal, pengimport dan pengedar rangkaian global yang lebih besar.  - DagangNews.com