ABIM gesa bantuan dana operasi turut diberikan kepada sekolah agama swasta | DagangNews Skip to main content

ABIM gesa bantuan dana operasi turut diberikan kepada sekolah agama swasta

 

KUALA LUMPUR 8 Okt - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar kerajaan turut menyalurkan bantuan kewangan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Menengah Agama Swasta (SMAS) disebabkan kedua-duanya tidak menerima bantuan dalam bentuk peruntukan operasi dalam Belanjawan 2021.



Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim berkata, peruntukan yang diberikan hanya untuk aspek baik pulih dan penyenggaraan, namun tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk diubah kepada peruntukan pengurusan akibat COVID-19.

 

Justeru kata beliau, sekiranya ada Belanjawan 2021 diperuntukkan untuk sekolah agama swasta, bantuan tersebut tidak sampai dan tidak bermakna.

 

''ABIM berharap ada bantuan dana khas kecemasan diturunkan untuk pengoperasian seperti bantuan gaji, sewaan dan utiliti serta pengurusan pemulihan setelah kehilangan murid dan guru,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Zairudin berkata, masyarakat umum telah mengetahui bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan. Peruntukan kewangan perlu disalurkan kerana orientasi SRAS dan SMAS yang menyepadukan kurikulum pendidikan kebangsaan, ditambah dengan pembelajaran agama,



Menurutnya, peranan SRAS dan SMAS jelas selari dengan Falsafah Pendidikan Negara serta Akta Pendidikan 1996, berbanding dengan beberapa jenis sistem persekolahan swasta atau persendirian lain yang ada di negara ini.

 

''Pandemik COVID-19 sepanjang dua tahun turut memberikan kesan kepada SRAS dan SMAS. Antara kesan khususnya adalah pada aspek pengoperasian apabila institusi kehilangan pelajar dan pengurangan yuran yang berjangka panjang.

 

''Hal ini mengakibatkan SRAS dan SMAS terpaksa mengurangkan gaji guru dan dalam masa sama, masih perlu memenuhi tuntutan kos operasi yang tinggi untuk meneruskan komitmen sewaan dan utiliti,'' jeas beliau.



Memandangkan kedua-dua institusi pendidikan berorientasikan agama ini berdiri atas kapasiti sumbangan komuniti sepenuhnya, ABIM berpandangan bahawa peruntukan kewangan ini perlu bersifat tahunan memandangkan permintaan masyarakat terhadap pendidikan akademik dan agama semakin tinggi. Tambahan pula ia menampung kesenjangan keupayaan kerajaan sendiri dalam membuka lebih banyak sekolah kerajaan yang sama orientasinya.

 

 

Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim
Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim



 


Katanya, terdapat sebanyak 457 buah sekolah rendah agama swasta (SRAS) dan 77 buah sekolah menengah agama swasta (SMAS), dengan lebih 79000 orang murid. Jumlahnya jauh lebih banyak daripada 63 buah sekolah menengah persendirian cina (SMPC) yang diberikan dana bantuan sebanyak RM15 juta, iaitu secara purata, hampir RM240,000 sebuah.

 

''Maka, bantuan kepada SRAS dan SMAS perlulah lebih adil dan mencerminkan keselarian dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara 12(2) dan Akta Pendidikan 1996.

 

''Isunya bukan untuk menidakkan bantuan dana kepada mana-mana institusi pendidikan, tetapi penting untuk memberikan keadilan kepada keseluruhan warga Keluarga Malaysia.

 

''Justeru, ABIM memohon agar bantuan kewangan disalurkan  seperti mana yang diterima SMPC kerana tuntutan ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, perkara 12 (2) serta Akta Pendidikan 1996,'' kata beliau.

 

ABIM juga menyeru semua pihak untuk bersama dalam desakan ini dengan menandatangani petisyen menerusi pautan ini - https://chng.it/tH48S8Vm

 

''Semangat Keluarga Malaysia wajib menunjukkan komitmen menjaga maruah agama Islam dengan menunjukkan keadilan kepada semua,'' kata Zairudin. - DagangNews.com