ACCA dan UN Global Compact Network meterai kerjasama strategik untuk capai UNDSG | DagangNews Skip to main content

ACCA dan UN Global Compact Network meterai kerjasama strategik untuk capai UNDSG

Faroze Nadar (kiri) dan Edward Ling.

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) memeterai kerjasama strategik untuk menyemai kesedaran dalam kalangan profesional kewangan dan perakaunan mengenai kemampanan korporat, iaitu aspek penting dalam membina perniagaan yang berdaya tahan dan mampan untuk generasi sekarang dan akan datang.

 

UNGCMYB berfungsi sebagai rangkaian tempatan bagi United Nations Global Compact, sebuah badan antarabangsa yang menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan, termasuk badan profesional seperti ACCA, untuk menjalankan tindakan ke arah amalan perniagaan yang lebih mampan.

 

Organisasi ini adalah penasihat khusus yang didasari oleh 10 Prinsip United Nations Global Compact dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Melalui sumber dan aktiviti yang komprehensif, UNGCMYB terlibat secara aktif dalam program pembelajaran dan peningkatan kemahiran.

 

Kerjasama dengan ACCA ini khusus disasarkan kepada profesional kewangan dan perakaunan yang bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan berkaitan, untuk meneraju organisasi mereka mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang mampan.

 

Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia & Brunei, Faroze Nadar berkata, profesional kewangan, yang merupakan pembuat keputusan utama untuk pendekatan pelaburan dan kewangan, akan menjadi salah satu watak penting dalam peralihan ke arah dunia yang lestari.

 

Dengan perkongsian ini kata beliau, pihaknya dapat memainkan peranan lebih besar untuk menghubungkan tindakan kelestarian dan kewangan yang sangat diperlukan, melalui program kerjasama dan kandungan yang disusun sesuai dengan keadaan setempat, demi mencapai SDG dalam dekad ini.

 

''Kami teruja untuk memulakan perjalanan ini bersama ACCA,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Antara peluang yang lahir daripada gandingan UNGCMYB-ACCA ini termasuklah usaha untuk meningkatkan kesedaran dan menambahbaik kemahiran dalam pelbagai bidang seperti kemampanan kewangan dan kesannya ke atas pihak berkepentingan yang berkaitan, supaya strategi kewangan syarikat selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (UNSDG).

 

Kerjasama ini juga bertujuan mewujudkan saluran penyokong kelestarian dalam kalangan profesional kewangan dan perakaunan, dengan sasaran untuk menjadi sebahagian daripada Pasukan Petugas CFO UNGC.

 

Tiba waktunya nanti, ACCA dan UNGCMYB juga akan berkerjasama dalam polisi sokongan tahap tinggi dan penyelidikan serta menganjurkan acara untuk memperjelaskan lagi mengenai kemampanan korporat. Ini mungkin merangkumi perbincangan meja bulat, laporan, forum dan persidangan, serta bengkel.

 

Ketua Portfolio, Maritim Asia Tenggara ACCA, Edward Ling berkata, kerjasama ini sangat bermakna bagi ACCE kerana persatuan ini telah lama menjadi penyokong kemampanan.

 

Beliau berkata, ACCA percaya bahawa kemampanan korporat adalah bahagian penting dalam membentuk perniagaan, ekonomi dan masyarakat yang cekap dan beretika.

 

'Sebagai badan profesional ujarnya, ACCA  juga mempunyai komitmen sendiri ke arah SDG, dengan menawarkan pendidikan berkualiti untuk semua dalam bidang kewangan dan perakaunan, mendorong kemasukan dan kepelbagaian di semua peringkat profesion kami, menggalakkan amalan lestari dan berikar untuk menjadi Sifar Bersih menjelang 2030.

 

“Bagi membolehkan anggota kami lebih menghayati komitmen ini, kami menggabungkan pelbagai prinsip kelestarian yang merentas pelbagai platform, daripada kerangka kelayakan kami kepada latihan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CDP) - yang semuanya diletakkan di bawah Hub Kemampanan kami, iaitu sumber atas talian bersepadu untuk anggota kami di mana semua maklumat berkaitan kemampanan boleh ditemui di situ.”

 

“Kami bergerak selari dengan nilai-nilai yang didukung oleh UNGCMYB, dan kami berasa bangga serta bertuah dapat bergandingan bersama UNGCMYB bagi meningkatkan keupayaan kami dalam melakukan perubahan yang memberi kesan dan membina dunia yang lebih lestari untuk kita dan generasi akan datang,” katanya. - DagangNews.com