AEON agih lebih 30,000 bubur lambuk sempena Ramadan tahun ini | DagangNews Skip to main content

AEON agih lebih 30,000 bubur lambuk sempena Ramadan tahun ini

Dr. Kasuma Satria, Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat AEON (tiga dari kiri) sama-sama menyediakan bubur lambuk bersama wakil rakan niaga yang lain.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Mac – AEON menyemarakkan suasana sambutan Ramadan tahun ini dengan mengedarkan lebih 30,000 pek bubur lambuk di 34  cawangan seluruh negara. Acara yang dilaksanakan secara berperingkat ini bermula  dari 23 Mac hingga 31 Mac 2024.  

 

Program bubur lambuk AEON ini merupakan acara tradisi yang telah dilaksanakan  oleh AEON sejak sekian lama. Ia bertujuan mendekati masyarakat di samping  berkongsi kemeriahan dengan orang ramai khasnya pengunjung pasar raya AEON dan juga kepada mereka yang memerlukan. 

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan  Pengarah Komunikasi Korporat AEON, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi berkata, “Di samping mendekatkan diri kami dengan masyarakat, aktiviti ini juga mampu menceriakan silaturrahim dalam kalangan warga  AEON".

 

"Kami amat bersyukur kerana tahun ini merupakan tahun ke-40 AEON berada di hati pengguna negara ini. Jadi kami ingin menyambut Ramadan tahun ini dengan  lebih kesyukuran. Program ini merupakan tanda terima kasih AEON kepada semua  pelanggan yang telah bersama AEON selama ini,” kata beliau. 

 

Setiap proses penyediaan dan agihan bubur lambuk untuk program ini dilakukan sendiri secara gotong-royong oleh warga AEON bersama komuniti setempat dan  pihak berkuasa tempatan.

 

Antara program yang telah berlangsung ialah Program Kembara Ramadan yang  diadakan di AEON Mall Kota Bharu Kelantan pada 23 Mac 2024. Di dalam program  ini, AEON Mall Kota Bharu telah mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk kepada  pengunjung dan juga keluarga yang memerlukan. 

 

 

aeon
Dr. Kasuma Satria mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung AEON Mall Kota Bharu

 

Program ini merupakan kolaborasi AEON Mall Kota Bharu bersama Jabatan Bomba  dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Koperasi Pengilang Produk F&B Berhad,  Kelab KB Underground dan beberapa rakan niaga AEON yang lain.

 

Sementara itu, Yayasan AEON Malaysia (MAF) juga akan mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada pesakit, pelawat, dan petugas barisan hadapan di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur melalui program AEON Mesra Ramadan. 

 

MAF merupakan cabang tanggungjawab korporat AEON yang melaksanakan  pelbagai program bantuan dan sokongan untuk komuniti yang memerlukan.  


 

aeon
Sukarelawan AEON bersama-sama menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan.

 

aeon

 


“DI AEON kami sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat sekiling kami.  Kami ingin menjadikan AEON bukan sahaja sebagai tempat membeli belah tetapi juga sebuah syarikat yang sentiasa menyantuni ekosistemnya melalui program kelestarian  dan kemasyarakatan yang sihat.

 

"Kami amat bersyukur kerana dapat terus beroperasi  selama 40 tahun dan ingin meraikan kejayaan ini bersama pelanggan dengan terus  mengukir senyuman dan mengikat hati,” kata Dr Kasuma.- DagangNews.com