Aeon anjur Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia hingga 31 Ogos 2022 | DagangNews Skip to main content

Aeon anjur Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia hingga 31 Ogos 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - AEON CO. (M) BHD. (Aeon) meneruskan misinya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mempromosikan produk tempatan dengan menganjurkan Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diadakan di Aeon Mall Shah Alam dari 25 Ogos hingga 31 Ogos 2022.

 

Program ini adalah kerjasama antara Aeon, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan (MINTRED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pelancongan Sarawak. 

 

Acara tersebut mengetengahkan produk dan perkhidmatan daripada 36 usahawan dari Sarawak yang terkenal. Karnival selama tujuh hari itu juga akan menampilkan keindahan tarian dan kesenian tradisional Sarawak.

 

Ia merupakan usaha daripada Aeon, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak untuk menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk merangsang perbelanjaan tempatan dalam kalangan pengguna dan seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi. 

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat Aeon, Dr. Kasuma Satria berkata , mereka sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menyokong pengusaha tempatan dan memperkasakan barangan buatan Malaysia. 

 

"Inisiatif sebegini merupakan salah satu nilai teras Aeon yang sentiasa kami amalkan untuk menyokong pertumbuhan komuniti tempatan dan bertindak sebagai warga korporat yang baik dalam berkhidmat kepada masyarakat. 

 

"Kami mengalu-alukan mana-mana usahawan tempatan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

aeon

 

 

Program Karnival Bumi Kenyalang tahun ini merupakan kali kedua dilaksanakan Aeon, yang mana karnival pertama telah dilangsungkan di Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan pada tahun 2020.

 

Majlis tersebut dirasmikan  Penasihat dan Mantan Menteri MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, yang turut dihadiri Pengarah SEDC, Nikk Adam Abdillah Kipalli; Ketua Sektor (Operasi) KPDNHEP Selangor, Mohd Shahran Arshad; Ketua Seksyen KPDNHEP Selangor, Siti Rohani Omar dan  Pengarah Urusan Aeon BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

 

 

aeon
Datuk Mohd Naroden Majais merasmikan Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia di Aeon Mall Shah Alam, baru-baru ini.

 

 

Bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2022, program ini juga akan diwarnai pameran dan jualan sebagai tumpuan utama karnival yang merupakan kesinambungan daripada KBBM yang telah dilancarkan KPDNHEP sebelum ini.

 

Produk-produk yang dipamer dan dijual adalah makanan dan minuman orang Sarawak, tekstil dan pakaian, perhiasan dan kraftangan, kecantikan dan kesihatan serta pelancongan dan perkhidmatan. 

 

 

aeon

 

 

Jualan ini bertujuan sebagai inisiatif bagi memperkasakan produk-produk tempatan yang berkualiti daripada Sarawak dan peluang kepada usahawan bagi menjana semula pendapatan yang terjejas ketika pasca COVID-19.

 

Karnival Bumi Kenyalang, yang merupakan sebahagian daripada KBBM, adalah salah satu contoh yang mana Aeon ingin mewujudkan kesedaran tentang produk tempatan dengan memperkasakan usahawan tempatan untuk keluar dari kawasan mereka dan berkongsi keindahan serta keistimewaan produk dan perkhidmatan dalam pasaran domestik. - DagangNews.com