AEON raikan Deepavali dengan sumbangan kotak AEON Bersamamu serta bantuan kebajikan | DagangNews Skip to main content

AEON raikan Deepavali dengan sumbangan kotak AEON Bersamamu serta bantuan kebajikan

Berdiri di hadapan, dari kiri – Batumalai a/l Sinnasamy, Presiden Kuil Subramaniyar Devasthanam; Datin Noryahwati Mohd Noh, Presiden Yayasan AEON Malaysia; Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON; VK Robert, Presiden Rumah Kebajikan SVP Klang; Sunny Setiawan, Ketua Pegawai Operasi AEON di majlis ‘Festival Cahaya’ di AEON Mall Bukit Raja, Klang, Selangor pada 4 November 2021.

 


KUALA LUMPUR 5 Nov – AEON Co. (M) Bhd. (AEON) meraikan perayaan Deepavali tahun ini dengan memenuhi tanggungjawab korporat menerusi program kemasyarakatan dengan golongan yang memerlukan, dengan  kerjasama Yayasan AEON Malaysia.

 

Pada majlis sambutan Deepavali “Festival Cahayas” yang diadakan semalam di AEON Mall Bukit Raja, Bandar Baru Klang itu, seramai 93 keluarga di sekitar kawasan tersebut menerima sumbangan berbentuk kotak AEON Bersamamu yang bernilai RM100 setiap satu.

 

Kotak AEON Bersamamu merupakan kotak sumbangan yang mengandungi barang-barang keperluan harian.

 

Rumah Kebajikan SVP Klang, sebuah kediaman untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur empat hingga dua belas tahun yang kurang bernasib baik dan juga Persatuan Kuil Sri Subramaniyar Devasthanam, Klang masing-masing telah menerima bantuan kewangan RM5,000.

 

Dengan nilai sumbangan berjumlah RM40,000, AEON turut menyumbang Kotak AEON Bersamamu kepada 307 keluarga B40 di sekitar Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

 

Sumbangan disampaikan melalui enam cawangan AEON iaitu AEON Mall Rawang Anggun di Rawang, Selangor; AEON Mall Bukit Tinggi di Klang, Selangor; AEON BiG Klang, Selangor; AEON BiG Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; AEON Mall Ipoh Klebang di Chemor, Perak dan AEON BiG Falim di Ipoh, Perak.

 

Ketua Pegawai Operasi AEON, Sunny Setiawan berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat turut sama menyerikan perayaan Deepavali menerusi program ‘Festival Cahaya’.

 

‘’Majlis itu tetap meriah walaupun disambut serba sederhana. Kita sememangnya bertuah kerana berpeluang untuk bersama-sama meraikan perayaan Deepavali ini yang turut mengukuhkan semangat muhibbah di samping membantu komuniti di dalam ekosistem kami,” katanya.

 

 

aeon
Barisan Kepimpinan AEON meraikan Deepavali 2021 di majlis ‘Festival Cahaya’ di AEON Mall Bukit Raja, Klang, Selangor pada 4 November 2021.

 

 

AEON ujar beliau, sentiasa prihatin akan cabaran yang dilalui sesetengah golongan masyarakat di waktu yang getir ini.

 

‘’Program yang dijalankan ini adalah seiring dengan aspirasi Sayap Bagimu untuk mendorong setiap lapisan masyarakat menyokong di antara satu sama lain dan terbang tinggi bersama dalam membina hari esok yang lebih baik,” ujar Sunny lagi.

 

Berobjektifkan untuk memberi peluang, dorongan serta sokongan kepada para pemegang taruh khususnya mereka yang memerlukan, inisiatif Sayap Bagimu memfokuskan kepada dua teras utama iaitu Pembangunan dan Kolaborasi.

 

Ia merangkumi pelbagai cabang program kelestarian seperti Pendidikan, Kemasyarakatan, Perniagaan, Keusahawanan, Perkembangan Sahsiah, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan lain-lain lagi.

 

“AEON sangat berterima kasih kepada Yayasan AEON Malaysia yang selama ini berkongsi aspirasi dan bergerak bersama dalam menjayakan program-program tanggungjawab korporat kami,” ujar Sunny.

 

 

aeon
Seorang peserta pertandingan pertunjukan fesyen di majlis ‘Festival Vahaya’ bertempat di AEON Mall Bukit Raja, Klang, Selangor.

 

 

Sementara itu, Presiden Yayasan AEON Malaysia Datin Noryahwati Mohd Noh berkata, Yayasan AEON Malaysia akan terus melebarkan sayapnya dalam membantu mereka yang memerlukan.

 

‘’Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk terus menyokong kesejahteraan komuniti dan terus menyumbang melalui inisiatif Sayap Bagimu. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada mereka sempena perayaan Deepavali ini,” katanya.

 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON, pihak pengurusan AEON, para perwakilan daripada Rumah Kebajikan SVP Klang dan Kuil Sri Subramaniyar Devasthanam serta rakan-rakan perniagaan AEON.

 

Beberapa aktiviti menyeronokkan turut mewarnai majlis antaranya acara pertandingan fesyen yang disertai oleh anak-anak para pelanggan AEON dan kanak-kanak daripada Rumah Kebajikan SVP Klang serta soalan-soalan kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

 

Di antara para penaja program ialah Kamdar Sdn. Bhd., Poh Kong Holdings Berhad, VIP Pass Holidays (M) Sdn. Bhd. dan Eastern Decorator Sdn. Bhd.

 

Majlis sambutan Festival Cahaya itu adalah selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Antaranya ialah Institusi Keamanan dan Keadilan yang Kukuh (Matlamat 16) iaitu memastikan masyarakat yang adil, aman dan terangkum. – DagangNews.com