Aeon sumbang RM500,000 bantu mangsa gempa bumi di Jepun | DagangNews Skip to main content

Aeon sumbang RM500,000 bantu mangsa gempa bumi di Jepun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Aeon Credit Service (M) Bhd dengan kerjasama Aeon Co (M) Bhd dan Yayasan Aeon Malaysia menyumbang sebanyak RM500,000 untuk membantu mangsa gempa bumi 7.6 magnitud baru-baru ini yang melanda Suzu di Semenanjung Noto, Prefektur Ishikawa, Jepun pada 1 Januari 2024.

 

Pengerusi Aeon Credit, Ng Eng Kiat berkata, komitmen berterusan pihaknya untuk menyokong mereka yang memerlukan, di peringkat tempatan dan antarabangsa telah tertanam dalam komitmen Aeon Credit terhadap kebajikan masyarakat. 

 

"Hari ini, sebagai kumpulan syarikat Aeon di Malaysia, kami berdiri bersama dalam mencapai objektif ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Terdahulu, pihak Aeon menyampaikan replika cek disampaikan kepada duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko, dalam satu majlis yang berlangsung di Kedutaan Jepun di sini baru-baru ini.

 

Sumbangan sebanyak RM500,000 terdiri daripada RM175,000 setiap satu daripada Aeon Credit dan Aeon Co, yang mana dana tersebut dikumpul pihak yayasan semasa kutipan derma awam pada Januari 2024 berjumlah RM150,000.

 

Turut hadir, Presiden Yayasan Aeon Malaysia, Datuk Iskandar Sarudin; Pengerusi Aeon Co, Naoya Okada dan Pengarah Urusan Aeon Co, Lee Kit Seong. 

 

Menurut kenyataan itu, selama bertahun yayasan berkenaan menyumbang lebih daripada RM20 juta, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan keperluan asas seperti pendidikan, tempat tinggal dan sokongan perubatan. 

 

Katanya, usaha berterusan itu membolehkan individu mencapai semula kegembiraan dalam kehidupan seharian, merealisasikan komitmen Aeon untuk mencipta kesan positif dan berkekalan ke atas kehidupan mereka yang terjejas. - DagangNews.com