Ageson lantik juruaudit bebas untuk meneliti dakwaan transaksi mencurigakan | DagangNews Skip to main content

Ageson lantik juruaudit bebas untuk meneliti dakwaan transaksi mencurigakan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 17 Jan - Ageson Bhd, yang terlibat dalam perdagangan sumber mineral, pembangunan hartanah dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan, melantik Virdos Lima Consultancy (M) Sdn Bhd (VL Consultancy) untuk meneliti isu dan perkara audit dibangkitkan oleh juruaudit luarnya Tetuan Jamal, Amin & Partners.

 

Pelantikan itu juga bagi meneliti punca dan asas juruaudit luar yang menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan teraudit syarikat bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2022 (FPE2022).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ageson berkata juruaudit luarnya telah membangkitkan kebimbangan mengenai isu audit tertentu yang merangkumi urus niaga dalam syarikat dan tiga anak syarikat lain, iaitu Ageson SMSGMBH Sdn Bhd, Ageson Power Sdn Bhd dan Ageson Industrial Sdn Bhd.

 

Menurut Ageson, VL Consultancy akan menjalankan penilaian bebas berhubung isu audit yang dibangkitkan oleh juruaudit luar berdasarkan skop kerja berikut:


1) memastikan kebenaran dan kesesuaian hasil, kos jualan dan perbelanjaan yang dilaporkan daripada perdagangan bahan binaan dan kemerosotan nilai belum terima lain yang dibentangkan dalam penyata untung atau rugi dan pendapatan komprehensif lain untuk syarikat, Ageson SMSGMBH dan/atau Ageson Power;

 

2) menilai kaedah penilaian dan kredibiliti entiti yang terlibat untuk penilaian aset tidak ketara Ageson Industrial dengan memastikan Ageson Industrial memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh badan kawal selia dan piawaian profesional; dan

 

3) menilai perlakuan permodalan tugasan hutang dalam kumpulan.

 

VL Consultancy akan memulakan kerja lapangannya pada 26 Januari ini dan dijangka menyelesaikan penilaian bebas menjelang akhir Mac tahun ini, tertakluk kepada pematuhan Ageson dengan terma yang ditetapkan dalam perjanjian penglibatan antara VL Consultancy dan Ageson.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ageson Berhad diklasifikasi PN17 mengikut keperluan penyenaraian pasaran utama Bursa Securities

 

Ageson terjerumus ke dalam status Nota Amalan 17 pada 1 November 2023, berikutan penafian pendapat oleh Tetuan Jamal, Amin & Partners. - DagangNews.com