Agong perkenan tamat darurat di Sarawak, pilihan raya boleh diadakan dalam masa terdekat | DagangNews Skip to main content

Agong perkenan tamat darurat di Sarawak, pilihan raya boleh diadakan dalam masa terdekat


KUALA LUMPUR 3 Nov - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak.

 

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, ia berikutan permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, untuk menamatkan darurat di negeri itu, semalam.

 

Beliau berkata, baginda memberi perkenan selepas menerima sembah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, serta Peguam Negara dan ketua agensi kerajaan, semalam, berhubung perkara itu.

 

Pelaksanaan Proklamasi Darurat di Sarawak adalah berikutan kes pandemik COVID-19 yang tinggi bebeberapa bulan lalu, dan dengan proses vaksinasi yang menyeluruh dan pantas, menyaksikan lebih 80% penduduk negeri itu sudah divaksinasi sepenuhnya.

 

Sejak seminggu ini, kadar kes COVID-19 yang dilaporkan berada di bawah paras 1,000 kes sehari.

 

Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak sebenarnya telah tamat pada Jun lalu, dan pilihan raya negeri boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. - DagangNews.com