KUALA LUMPUR 17 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi akhir dan majlis penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di ladang sawit Felda Panching Selatan, Kuantan, Pahang.
Ini merupakan latihan bersama antara Tentera Darat (TD) dengan United Arab Emirates Land Forces (UAELF).
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera. Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Staf Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Leftenan Jeneral Eisa Saif Al Mazroue.
Seri Paduka Baginda, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia telah berkenan menyaksikan demonstrasi pertempuran antara kedua-dua pasukan dalam strategi menawan musuh.
Gabungan antara dua pasukan ini membentuk Kompeni Mekanize Hybrid yang mana mereka telah mempamerkan semangat setia kawan dan kesungguhan ketika melaksanakan fasa akhir.
Eksesais Jungle Falcon antara kejayaan TD dalam merealisasikan persefahaman ketenteraan yang telah dipersetujui pucuk pimpinan bersama UAELF di Abu Dhabi pada 31 Oktober tahun lalu.
Eksesais itu juga membuka ruang untuk kedua pasukan berkongsi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan bersama dalam aspek peperangan konvensional.
Ini merupakan latihan pertama yang diadakan antara kedua-dua pihak di Malaysia, lantas menterjemahkan hubungan baik dua negara.
Eksesais ini yang bermula pada 5 Julai lalu melibatkan 34 pegawai dan 510 anggota Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) bersama 16 pegawai dan 115 anggota UAELF.
Konsep mekanize menggabungkan pasukan infantri dan kenderaan tempur berperisai yang mana kenderaan ini dapat meningkatkan mobiliti, kuasa tembakan dan perlindungan kepada infantri.
Unit mekanize antara komponen penting dalam konsep pertempuran moden kerana mempunyai kombinasi untuk melaksanakan pelbagai operasi.
Konsep eksesais ini melibatkan peperangan konvensional terutamanya dari segi operasi mekanize termasuk latihan silang antara kedua-dua pasukan.
Eksesais ini memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk mempelajari pengalaman dan kemahiran yang baharu dalam melaksanakan operasi tempur.
Anggota UAELF merasai sendiri pengalaman beroperasi di dalam suasana iklim tropika manakala TD pula menimba kemahiran serta pengetahuan baharu sepanjang eksesais dijalankan.
Sebelum ini, eksesais dua hala antara TD dengan UAELF iaitu Eksesais Desert Tiger Siri 6/2023 telah dilaksanakan di Al Hamra Combat Training Center, Abu Dhabi pada 8 hingga 27 Februari lalu.
Ini merupakan program latihan ketenteraan dua hala Malaysia-UAE bagi memberi pendedahan tentang operasi di padang pasir serta menambahkan pengetahuan dan kecekapan anggota.
Ia melibatkan masing-masing satu kompeni daripada Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA) serta Batalion Ke-61 UAELF.
Dalam tempoh beberapa tahun lalu, UAE telah menjalinkan hubungan yang erat dengan Malaysia termasuk kerjasama pertahanan membabitkan ketenteraan dan industri.
Pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi Mei lalu, UAE merupakan antara pempamer terbesar dengan mengketengahkan pelbagai teknologi dan sistem persenjataan terkini.
UAE juga menunjukkan minat untuk terlibat dalam projek kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi Abu Dhabi ShipBuilding yang merupakan sebahagian daripada firma pertahanan terbesar negara itu, EDGE Group. - DagangNews.com