KUALA LUMPUR 28 Feb - Kerajaan akan terus mengukuh dan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan dan nilai murni serta persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda menyambut baik inisiatif Sekolahku SEJAHTERA untuk dilaksanakan ke arah membentuk kemenjadian murid.
Baginda bertitah, semua pihak sewajarnya menyokong usaha yang dilakukan demi untuk merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik COVID-19.
"Jalinan kerjasama baik dan positif hendaklah terus diwujudkan dan disokong bagi memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada anak-anak kita," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menyokong usaha kerajaan membangunkan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (SEJAHTERA IPT) dalam memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi pascapandemik.
"Beta menyambut baik usaha-usaha seperti penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET), pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021-2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021-2025 yang kesemuanya merupakan naratif baharu bagi melahirkan graduan holistik dan seimbang," titah baginda.
Pada masa sama, baginda bertitah, selaras dengan perubahan pesat dunia pekerjaan dan kewujudan peluang pekerjaan baharu termasuk ekonomi gig yang semakin terbuka luas, pekerja perlu diberi latihan kemahiran insaniah dan kognitif.
Langkah ini, titah baginda, bagi memastikan ekosistem pekerjaan kekal berdaya saing.
"Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan undang-undang perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja serta menggalakkan majikan dan pekerja mengikuti latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran," titah baginda. - DagangNews.com