Ahmad Nazim dilantik Ketua Eksekutif LTAT | DagangNews Skip to main content

Ahmad Nazim dilantik Ketua Eksekutif LTAT

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkuatkuasa 15 Jun 2021.

 

Ahmad Nazim mengambil alih peranan tersebut daripada Datuk Seri Amrin Awaluddin yang meletakkan jawatannya pada 30 April 2021 untuk berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji yang baharu.

 

Pengerusi LTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, Ahmad Nazim akan memainkan peranan yang penting dalam menerajui inisiatif transformasi serta memacu halatuju LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing.

 

“Kami mengalu-alukan kedatangan Datuk Nazim untuk menerajui organisasi LTAT. 

 

“Kami juga amat yakin pengalaman luas beliau sebelum ini dalam sektor korporat dan pelaburan di beberapa pusat kewangan terkemuka dunia akan membawa perspektif baharu bagi menjayakan pelaksanaan strategi transformasi bagi LTAT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, Mohd Zahidi dan ahli Lembaga LTAT turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pegawai Kewangan, Mohammad Ashraf Md Radzi atas kepimpinan serta sumbangannya ketika memangku tugas Ketua Eksekutif sejak 3 Mei 2021 selepas Amrin meletakkan jawatan.

 

Menurut kenyataan sama, Ahmad Nazim mempunyai pengalaman profesional selama 20 tahun dalam bidang pengurusan korporat, kewangan korporat dan pelaburan. 

 

Sebelum berkhidmat dengan LTAT, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan bagi rantau Asia Tenggara bersama firma pelaburan dan penasihat, Allied Investment Partners yang beroperasi dari Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

 

Dalam pada itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA Berhad bermula 2013 hingga 2018 serta merupakan ahli Lembaga perintis National Bank of Abu Dhabi (Malaysia) Berhad.

 

Selain peranan eksekutif, Ahmad Nazim juga berkhidmat sebagai ahli Lembaga di beberapa institusi kewangan, syarikat tersenarai dan agensi awam. 

 

Beliau kini merupakan ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Tenaga, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Omesti Berhad dan Regulus Advisors Pte Ltd, sebuah dana ekuiti persendirian yang berpusat di Singapura.

 

“Beliau memperoleh sarjana bidang ekonomi dan polisi awam di Sciences Po di Perancis dan adalah pemegang anugerah J William Fulbright di Georgetown University, Amerika Syarikat (AS), di mana beliau memperoleh Sarjana Undang-undang. 

 

“Beliau juga adalah graduan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

“Seorang yang aktif dalam penulisan, Datuk Nazim adalah kolumnis untuk akhbar The Edge Malaysia, di mana beliau banyak menyuarakan pandangan tentang hal ehwal ekonomi dan kaitannya dengan masyarakat,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com